Skip to main content

Singapura

S'pura luluskan Indonesia sebagai sumber baru bagi import ayam

Indonesia sudahpun diluluskan sebagai sumber baru bagi pengimportan ayam yang disejukkan, beku dan diproses, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Jun 2022 07:28PM Dikemas Kini : 30 Jun 2022 09:06PM
SINGAPURA: Indonesia sudahpun diluluskan sebagai sumber baru bagi pengimportan ayam yang disejukkan, beku dan diproses, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Khamis (30 Jun).

Ini menambah kepada senarai lebih 20 negara yang diluluskan bagi mengeksport ayam ke Singapura.

"Kepelbagaian menjadi tunggak strategi keselamatan makanan Singapura. Pemerintah sudah membuat rancangan jangka panjang dan mengambil tindakan secara proaktif bagi melindungi bekalan makanan Singapura," jelas SFA dalam catatannya di laman Facebook.

Ia juga menambah bahawa dengan mempunyai sumber import baru, ia akan melindungi negara ini dengan lebih baik lagi daripada ketidaktentuan bekalan global.

Singapura baru-baru ini berdepan dengan beberapa gangguan pada bekalan ayam yang disejukkan selepas Malaysia melaksanakan larangan eksport pada 1 Jun.

Sekitar sepertiga bekalan ayam Singapura diimport dari Malaysia.

SFA menyatakan pasukan Singapura melawat Indonesia bagi mengaudit keselamatan makanan dan kawalan kesihatan haiwan.

Pasukan tiu melawat pelbagai kemudahan seperti ladang, pusat kuarantin dan makmal bagi memahami dengan lebih baik lagi sistem-sistem kawal selia sedia ada.

"Ayam-ayam hanya boleh diimport dari sumber-sumber yang diluluskan SFA bagi memastikan sumber-sumber itu memiliki sistem, proses dan keupayaan yang diperlukan bagi membekalkan ayam yang boleh memenuhi piawaian keselamatan makanan dan kesihatan haiwan kepada Singapura," menurut agensi itu.

Ia juga menjelaskan syarikat-syarikat dan ladang-ladang secara individu juga perlu dinilai dan diluluskan, dengan penilaian dokumen yang terperinci dan pengesahan berdasarkan audit yang dijalankan di lokasi-lokasi penilaian.

"Kiriman bekalan itu juga akan menjalani pemeriksaan, persampelan dan ujian SFA selepas diimport. Ini bagi memastikan kesinambungan strategi kepelbagaian sumber SFA tanpa menjejas keselamatan makanan," menurut agensi itu.

Dalam catatannya di laman Facebook pada Khamis, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menarik perhatian bahawa bekalan global akan terus menghadapi ketidaktentuan dan Singapura mesti bersedia secara psikologi bagi lebih banyak gangguan dan naik turun harga.

"Meskipun pemerintah membuat rancangan jangka panjang dan mengambil tindakan proaktif bagi melindungi bekalan makanan Singapura, para pengguna dan industri makanan juga memainkan peranan penting," kata beliau.

"Dengan bersikap fleksibel terhadap pilihan makanan dan bahan kita, serta menukar kepada produk atau sumber alternatif apabila perlu, kita semua boleh membantu meningkatkan daya tahan Singapura."

Indonesia, negara terbesar dan paling ramai penduduk di Asia Tenggara dengan lebih 270 juta orang, mempunyai lebihan pengeluaran ayam. Negara itu juga mengeluarkan 55 juta hingga 60 juta ayam seminggu, dengan lebihan sekitar 15 hingga 20 peratus selepas penggunaan domestik.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita