Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lulus vaksin COVID-19 Pfizer bagi kanak-kanak 6 bulan hingga 4 tahun

Kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun akan diberikan tiga suntikan Comirnaty Pfizer dengan dos 3 mikrogram setiap suntikan.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lulus vaksin COVID-19 Pfizer bagi kanak-kanak 6 bulan hingga 4 tahun

Botol-botol kosong vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. (Gambar fail: AFP/Christof Stache)

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Comirnaty oleh syarikat Pfizer bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.

Kanak-kanak itu akan menerima tiga suntikan dengan dos 3 mikrogram setiap suntikan.

Dua dos pertama harus diberikan selang tiga minggu, disusuli dengan dos ketiga sekurang-kurangnya lapan minggu selepas dos kedua, menurut HSA dalam satu kenyataan media pada Khamis (29 Sep).

Cadangan rasmi vaksinasi bagi penggunaan vaksin itu akan dikeluarkan Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 dan Kementerian Kesihatan (MOH) apabila ia siap kelak, jelas penguasa itu.

HSA menyatakan pihaknya sudah menimbangkan dengan teliti data klinikal dan membuat penilaian bahawa manfaat penggunaan vaksin Comirnaty melebihi risikonya bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.

Dalam membuat keputusan itu, HSA menyatakan pihaknya juga berunding dengan para pakar dari Jawatankuasa Penasihat Ubat-Ubatan serta Panel Pakar Penyakit Berjangkit.

Penguasa tersebut menyatakan data klinikalnya adalah berdasarkan ujian berterusan yang dijalankan Pfizer, melibatkan sekitar 1,800 peserta berusia enam bulan hingga empat tahun.

"Keputusannya menunjukkan respons imun dalam kalangan kanak-kanak dengan siri tiga dos asas boleh disamakan dengan orang dewasa berusia 16 hingga 25 tahun, yang menerima dua dos dengan jumlah lebih tinggi sebanyak 30 mikrogram bagi dua dos vaksin," menurut HSA.

"Oleh itu, ia bermakna tiga dos vaksin itu mungkin memberikan tahap perlindungan serupa dalam kalangan kanak-kanak sebagaimana dua dos vaksin kepada orang dewasa."

Meskipun tiada kes kesan sampingan serius yang dilaporkan dalam kajian klinikal dengan Comirnaty, HSA menyatakan pihaknya menyarankan penjaga kanak-kanak itu memantau bagi tanda-tanda atau gejala miokarditis seperti sakit dada dan kesukaran bernafas, serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kegiatan fizikal selepas menerima suntikan vaksin.

HSA menyatakan pihaknya akan terus memantau secara aktif keselamatan vaksin berkenaan dan memerlukan Pfizer untuk menyerahkan data dari kajian klinikal yang berterusan itu.

Ini bagi memastikan manfaat vaksin itu terus melebihi risikonya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan