Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lulus penggunaan molnupiravir, pil antivirus kedua dibenarkan untuk rawat COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lulus penggunaan molnupiravir, pil antivirus kedua dibenarkan untuk rawat COVID-19

Kapsul pil antivirus molnupiravir keluaran Merck & Co. (Gambar fail: AFP/agihan Merck & Co)

Diterbitkan : 19 Apr 2022 09:27PM Dikemas Kini : 19 Apr 2022 09:27PM

SINGAPURA: Ubat antivirus molnupiravir merupakan pil kedua yang diluluskan di Singapura untuk merawat pesakit dewasa COVID-19. 

Demikian menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (19 Apr). 

Kelulusan sementara diberikan di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) bagi pil Lagevrio yang dihasilkan syarikat MSD pada Selasa (19 Apr), menurut HSA, setelah berunding dengan Jawatankuasa Penasihat Ubat-Ubatan. 

Molnupiravir yang dipasarkan sebagai Lagevrio adalah ubat pil antivirus kedua yang diluluskan untuk merawat pesakit COVID-19 berusia 18 tahun dan ke atas, yang mengalami gejala ringan hingga sederhana tetapi berisiko menjadi lebih teruk atau perlu dimasukkan ke hospital atau kedua-duanya sekali. Ia juga bagi mereka yang "tidak layak untuk rawatan alternatif COVID-19". 

Pada Februari, Singapura meluluskan penggunaan pil Paxlovid keluaran Pfizer bagi rawatan COVID-19 untuk pesakit dewasa yang berisiko mengalami penyakit serius. 

Lagevrio harus diambil dalam masa lima hari selepas gejala dikesan, selama tempoh lima hari, menurut HSA. Ia akan diberikan kepada mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi mengalami penyakit teruk, seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (MOH). 

Lagevrio didapati boleh mengurangkan risiko COVID-19 yang teruk sebanyak 30 peratus dan risiko perlu dimasukkan ke hospital atau  kematian sebanyak 6.8 peratus, menurut semakan HSA berdasarkan data klinikal daripada kajian fasa kedua/ketiga. Kajian itu menyiasat penggunaan ubat itu dalam mengurangkan risiko pesakit yang mengalami COVID-19 yang ringan hingga sederhana, dirawat di hospital atau meninggal dunia.

KELOMPOK YANG TIDAK PATUT AMBIL LAGEVRIO 

Lagevrio tidak disyorkan bagi wanita hamil, wanita yang menyusu dan mereka yang berusia bawah 18 tahun, menurut HSA. 

"Wanita yang berpotensi hamil harus menggunakan kaedah mencegah kehamilan sepanjang tempoh rawatan dan selama empat hari selepas dos Lagevrio yang terakhir." 

Penguasa tersebut juga menasihatkan lelaki dengan pasangan yang berpotensi hamil untuk menggunakan kaedah mencegah kehamilan yang boleh dipercayai sepanjang  rawatan itu untuk sekurang-kurangnya tiga bulan setelah dos terakhir mereka. 

Saranan itu berdasarkan hasil dapatan kajian pada haiwan yang menunjukkan bahawa Lagevrio boleh menjejas pertumbuhan bayi dan tulang  serta DNA. 

Kesan sampingan biasa Lagevrio yang dilaporkan dalam kajian klinikal termasuk cirit-birit, rasa loya dan pening kepala yang lazimnya ringan, menurut HSA. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa