S'pura longgarkan peraturan COVID-19 terhadap pelawat bukan VTL
Singapura akan melonggarkan langkah-langkah COVID-19 yang dikenakan terhadap pelawat di luar aturan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL), umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (31 Dis).
Para pelawat di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 2 Dis 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Singapura akan melonggarkan langkah-langkah COVID-19 yang dikenakan terhadap pelawat di luar aturan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL), umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (31 Dis).
Mulai jam 11.59 malam pada 7 Januari 2022, para pelawat bukan VTL dari negara-negara kategori dua hingga empat tidak perlu lagi menjalani ujian COVID-19 sebaik tiba di Singapura.
Sementara itu, pelawat dari kategori dua dan tiga dikehendaki menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di rumah, masing-masing selama tujuh dan 10 hari. Mereka yang datang dari negara kategori empat pula perlu menjalani SHN selama 10 hari di sebuah kemudahan yang ditetapkan.
Syarat yang dikenakan sebelum ini untuk menjalani ujian COVID-19 sebaik tiba di sini "adalah bagi mengesan dengan awal kes-kes Omicron kerana varian itu baru dan kami mahu mempelalajari lebih lanjut mengenainya," jelas MOH dalam satu kenyataan media.
"Memandangkan kita sudah mengumpulkan lebih banyak maklumat tentang varian Omicron, kita sudah menilai dengan lebih lanjut bahawa OAT (ujian sebaik tiba) bagi penumpang bukan VTL.... tidak lagi diperlukan," tambahnya.
Menurut MOH, pelawat bukan VTL perlu diuji negatif COVID-19 di akhir tempoh notis mereka bagi "mengurangkan lagi risiko penularan lanjut".
Pelawat dari Hong Kong, Macao, China dan Taiwan - di bawah kategori satu - yang tidak dikehendaki menjalani SHN tetap perlu mengambil ujian PCR apabila tiba di sini.
REJIM UJIAN 7 HARI COVID-19
Pelawat VTL akan terus disyaratkan untuk menjalani ujian COVID-19 sehingga hari ketujuh ketibaan mereka di Singapura. Langkah dipertingkat ini akan dilanjutkan selama empat minggu dari tarikh henti awalnya pada 2 Januari.
Setakat Khamis, Singapura sudah mengesan 912 kes import Omicron - 685 daripadanya dikesan melalui rejim ujian dipertingkat ke atas pelawat VTL.
"Peningkatan itu terbukti berkesan dalam mengesan kes Omicron import dalam kalangan pelawat VTL dan mengurangkan penularan lanjut," menurut MOH.
"Sedang keadaan seantero dunia berubah-ubah, kita akan terus menyesuaikan langkah-langkah sempadan kita seiring dengan hala tuju kita untuk menjadi sebuah negara yang berdaya tahan terhadap COVID-19," tambah MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.