Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor lebih 8,800 kes jangkitan semula COVID-19 dalam 5 bulan

Terdapat lebih 8,800 kes jangkitan semula COVID-19 dalam kira-kira lima bulan, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Apr 2022 08:28PM Dikemas Kini : 07 Apr 2022 08:45PM

SINGAPURA: Terdapat lebih 8,800 kes jangkitan semula COVID-19 dalam kira-kira lima bulan, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Apr).

Dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) He Ting Ru (WP-Sengkang), Encik Ong berkata dari 1 November 2021 hingga 25 Mac 2022, terdapat 8,845 kes jangkitan semula COVID-19 di Singapura.

Sebilangan besar kes jangkitan semula itu melibatkan individu berusia bawah 60 tahun, dengan kebanyakan daripada mereka mengalami gejala ringan.

Seorang individu dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) dan dua pesakit lain meninggal dunia.

Singapura mencatat lebih 1,123,000 kes COVID-19 sejak bermulanya pandemik, dengan sekitar 1,287 kes kematian.

Negara ini juga menyaksikan lonjakan kes melibatkan varian Delta pada 2021, sebelum gelombang Omicron bermula pada awal tahun ini.

Sebelum gelombang Omicron melanda, Encik Ong mendedahkan dalam jawapan parlimen bertulis pada November tahun lalu bahawa terdapat 32 kes yang disahkan jangkitan semula COVID-19 setakat 16 Ogos 2021.

Sepertiga daripada kes itu adalah penghuni dormitori dan selebihnya adalah kes import, tambah beliau.

“Mulai 16 Ogos 2021, penilaian rasmi jangkitan semula tidak lagi dilakukan sedang strategi negara beralih daripada strategi pembasmian. Semua jangitan diuruskan dengan cara yang sama untuk memastikan pengurusan klinikal dan pencegahan penularan yang optimum, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) ketika itu.

Beliau menambah ketika itu bahawa tempoh antara jangkitanawal dengan jangkitan semula seterusnya berbeza-beza, dengan purata tempoh kira-kira 300 hari.

Bulan lalu, dapatan sementara daripada Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) menunjukkan suntikan dos penggalak COVID-19 Moderna akan memberikan tindak balas antibodi "yang jauh lebih tinggi" kepada dewasa lebih berumur.

Dapatan itu berdasarkan satu ujian klinikal yang dijalankan ke atas 100 peserta yang menerima dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty sebagai siri asas vaksinasi COVID-19 mereka.

Dr Barnaby Young, ketua Rangkaian Kajian Klinikal Penyakit Berjangkit Singapura di NCID, berkata: "Berdasarkan keputusan sementara daripada...kajian itu, kami tahu bahawa varian Omicron mampu terlepas daripada kekebalan dalam kalangan individu lengkap divaksin, mengambil Pfizer-BioNTech/ Comirnaty atau Moderna sebagai dos penggalak membantu meningkatkan serum yang meleburkan kegiatan Omicron sehingga lebih 50 peratus menjelang hari ketujuh selepas disuntik dos penggalak.

“Magnitud rangsangan antibodi berkemungkinan menawarkan perlindungan yang ketara terhadap jangkitan melibatkan varian ini."

Namun, beliau memberi amaran kemunculan varian-varian yang berupaya mengelak kekebalan perlindungan kekal satu keprihatinan. Beliau turut menekankan keperluan bagi melakarkan strategi jangka panjang bagi imunisasi COVID-19.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan