Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor kes tempatan pertama cacar monyet yang ada kaitan; 15 kes disahkan sejak Jun

Lelaki berusia 54 tahun adalah kes tempatan pertama cacar monyet yang ada kaitan; satu lagi kes baru ialah lelaki 25 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor kes tempatan pertama cacar monyet yang ada kaitan; 15 kes disahkan sejak Jun

(Gambar: Md Saiful Islam Khan/iStock)

SINGAPURA: Singapura pada Jumaat (5 Ogos) melaporkan dua kes baru cacar monyet, termasuk kes tempatan pertamanya yang ada kaitan - kontak lelaki yang jangkitannya disahkan awal minggu ini.

Lelaki berusia 54 tahun itu tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara baru-baru ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini di lamannya.

Beliau diuji positif pada Jumaat dan merupakan kontak lelaki 33 tahun yang dikenali sebagai Kes 13.

Satu lagi kes yang disahkan hari ini ialah lelaki berusia 25 tahun.

Dia tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan dan jangkitannya disifatkan sebagai kes tempatan yang tidak ada kaitan, dedah MOH.

Dua kes baru itu membawa jumlah jangkitan di negara ini sejak bulan Jun kepada 15.

Lima daripada 15 kes itu, adalah jangkitan import manakala 10 merupakan kes tempatan.

Menurut MOH, cacar monyet adalah penyakit virus disebabkan jangkitan dengan virus cacar monyet.

Ia biasanya penyakit yang menyebabkan demam dan ruam. Bagaimanapun, komplikasi serius atau kematian boleh berlaku dalam sebilangan individu.

Mereka yang dijangkiti biasanya mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, kelenjar bengkak, rasa seram sejuk dan rasa lelah.

Penyakit itu kemudian boleh menyebabkan ruam pada mereka yang dijangkiti, biasanya bermula dari muka sebelum merebak ke bahagian lain tubuh, termasuk tapak tangan dan tapak kaki.

Gejala-gejala boleh timbul dari lima hingga 21 hari selepas dijangkiti. Individu-individu itu biasanya mudah menjangkiti orang lain semasa mula mengalami demam sehingga ruam kulit berlaku, menurut MOH.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan