S'pura lapor kes tempatan ketiga cacar monyet
Singapura melaporkan kes jangkitan cacar monyet ketiga dalam negeri pada Khamis (14 Jul). Ini membawa jumlah kes penyakit itu di Singapura kepada enam sejak Jun.
(Gambar: Science Photo Library)
Dalam satu kemas kini di lamannya pada Khamis, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pesakit itu adalah seorang lelaki warga Singapura berusia 41 tahun.
Beliau tidak terkait dengan mana-mana kes cacar monyet yang diumumkan sebelum ini oleh MOH, menurut kementerian tersebut.
Lelaki itu kini dimasukkan kee dalam sebuah wad di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil, menurut MOH.
Lelakit tersebut mengalami ruam pada 9 Julai. Beliau mendapatkan rawatan perubatan pada 12 Julai dan kemudian dimasukkan ke NCID pada hari seterusnya.
Pengesanan kontak sedang dijalankan.
Ini menandakan kes cacar monyet yang keenam diumumkan di Singapura sejak Jun. Tiga merupakan kes import manakala lagi tiga adalah jangkitan tempatan.
Tiada kes menunjukkan sebarang kaitan sejauh ini.
Cacar monyet adalah penyakit virus yang disebabkan oleh jangkitan virus cacar monyet. Ia biasanya penyakit yang boleh pulih dalam masa 14 hingga 21 hari.
Mereka yang terjangkit biasanya mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, bengkak nodus limfa, menggigil, lesu dan ruam.
"Penularan berlaku apabila individu berada dalam kontak rapat dengan virus itu melalui haiwan yang terjangkit, individu yang terjangkit atau persekitaran yang tercemar," jelas MOH.
"Tiada rawatan atau vaksin khusus yang terbukti atau selamat untuk jangkitan cacar monyet."
Sebanyak 9,200 kes cacar monyet sudahpun dilaporkan di 63 negara menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa.
WHO akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pakar cacar monyet yang kedua pada 21 Julai untuk menentukan sama ada penularan itu merupakan satu darurat kesihatan sejagat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.