Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lapor kes ke-11 jangkitan cacar monyet

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lapor kes ke-11 jangkitan cacar monyet

Sampel darah yang diuji positif bagi virus cacar monyet. (Gambar: iStock/turk_stock_photographer)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan satu lagi kes jangkitan cacar monyet pada Rabu (27 Jul), sekali gus membawa jumlah jangkitan di negara ini kepada 11 kes sejak bulan Jun.

Pesakit itu adalah lelaki rakyat Singapura berusia 32 tahun, menurut MOH dalam kemas kini di lamannya.

Dia diuji positif terjangkit virus itu pada Selasa, dua minggu selepas mengalami demam pada 12 Julai. Dia juga mengalami ruam di tubuhnya menurut MOH.

Lelaki tersebut mendapatkan rawatan perubatan pada Selasa dan dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada hari yang sama.

Dia kini dalam keadaan stabil dan pengesanan kontak sedang dijalankan.

Jangkitan lelaki itu tidak terkait dengan mana-mana kes cacar monyet sebelum ini, menurut MOH.

Cacar monyet adalah penyakit virus yang biasanya pulih dalam masa 14 hingga 21 hari.

Mereka yang dijangkiti virus tersebut biasanya mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, kelenjar bengkak, rasa seram sejuk, kepenatan dan ruam.

Daripada 11 kes cacar monyet yang diumumkan di Singapura sejak bulan Jun, lima adalah kes import dan enam adalah kes tempatan.

Tiada satu pun kes setakat ini terkait antara satu sama lain.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata MOH tidak menyarankan vaksinasi secara beramai-ramai bagi penduduk Singapura terhadap cacar monyet, sambil menekankan pendirian kementerian tersebut berhubung penyakit itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan penularan cacar monyet sebagai satu darurat kesihatan global.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan