S'pura lancar strategi kebangsaan bertujuan tangani sisa marin
Singapura pada Ahad (5 Jun) melancarkan strategi tindakan kebangsaan yang bertujuan menggembleng usaha "seluruh negara" bagi menangani cabaran global sisa marin yang semakin meningkat.
SINGAPURA: Singapura pada Ahad (5 Jun) melancarkan strategi tindakan kebangsaan yang bertujuan menggembleng usaha "seluruh negara" bagi menangani cabaran global sisa marin yang semakin meningkat.
"Sisa marin adalah cabaran global yang semakin meningkat yang memerlukan tindakan bersama dan menyeluruh. Ia boleh datang daripada banyak sumber dan ia adalah isu merentas sempadan kerana sisa sampah dibawa arus laut oleh angin dan pasang surut air," menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
Strategi Tindakan Kebangsaan bagi Sisa Marin (NASML) menggariskan enam bidang tumpuan strategik yang disesuaikan mengikut konteks tempatan dan menunjukkan komitmen Singapura dalam menangani masalah sisa marin dalam negara dan di luar negara, menurut MSE.
Bidang-bidang tumpuan itu termasuk pengurangan sumber sisa yang berpangkalan di darat dan laut, pendekatan ekonomi kitaran serta kajian dan pembangunan.
NASML juga akan meneliti bagaimana untuk mengekalkan dan mengukuhkan jangkauan dan pendampingan pihak berkepentingan selain daripada pendampingan dan kerjasama antarabangsa.
Strategi tindakan itu diumumkan oleh Menteri Negara bagi Kemampanan dan Sekitaran, Desmond Tan semasa satu sesi membersihkan pantai di Pantai Tanah Merah pada Ahad.
Usaha membersihkan pantai itu dianjurkan oleh pertubuhan sosial 'Stridy and Seastainable', sempena Hari Sekitaran Dunia.
Menurut data oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sekitar 4,009 tan apungan dikumpul dari 10 pantai dan kawasan perairan di Singapura pada 2021.
Ini berbanding 3,490 tan apungan yang dikumpul pada 2020 dan 3,640 tan pada 2019.
Apungan merujuk kepada sebarang objek yang terapung termasuk tetapi tidak hadkan kepada batang pokok, botol plastik, daun, bangkai, dram, ponton terapung dan bangkai ikan, menurut MSE.
Kebanyakan apungan di perairan Singapura dihanyutkan oleh arus, pasang surut air dan angin.
NASML merupakan langkah pertama untuk merasmikan "tindakan kita sebagai seluruh negara dalam menangani masalah sisa marin", menurut MSE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.