Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura kecam tindakan Korea Utara uji peluru berpandu balistik rentas benua

Singapura menggesa Korea Utara supaya menghentikan segala provokasi setelah ia menguji sebuah peluru berpandu balistik antara benua pada awal minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura kecam tindakan Korea Utara uji peluru berpandu balistik rentas benua

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Mar 2022 05:16PM Dikemas Kini : 26 Mar 2022 10:13PM

SINGAPURA: Singapura menggesa Korea Utara supaya menghentikan segala provokasi setelah ia menguji sebuah peluru berpandu balistik rentas benua pada awal minggu ini.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (26 Mac).

Pada Khamis (24 Mac), Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik terbesar rentas benua, yang dilaporkan dapat bergerak jauh lebih tinggi dan pantas berbanding mana-mna peluru berpandu seumpamanya sebelum ini.

"Singapura mengkritik tindakan (Korea Utara) menguji sebuah peluru berpandu balistik rentas benua pada 24 Mac 2022, yang meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan melanggar Ketetapan Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," menurut MFA.

MFA menambah bahawa ujian itu juga melanggar penggantungan ujian peluru berpandu balistik rentas benua yang dipersetujui oleh Korea Utara pada 2018.

"Kami menyeru DPRK supaya menghentikan segala provokasi dengan serta-merta dan mematuhi tanggungjawab serta komitmen antarabangsa," menurut MFA, menggunakan akronim rasmi bagi Korea Utara.

"PELURU BERPANDU RAKSASA"

Dikenali sebagai Hwasong-1, peluru berpandu balistik raksasa rentas benua itu pertama kali dilancarkan pada Oktober 2020 dan mendapat gelaran "peluru berpandu raksasa" oleh para penganalis.

Ia belum lagi pernah berjaya diuji dan pelancaran itu menimbulkan kemarahan dari negara-negara jiran Pyongyang dan Amerika Syarikat.

"Peluru berpandu itu dilepaskan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang, bergerak pada ketinggian maksimum 6,248.5 kilometer dan meluncur sejauh 1,090 kilometer selama 4,052 saat sebelum ia gugur pada kawasan yang ditetapkan sebelum ini di perairan terbuka" Laut Jepun, menurut KCNA.

Tentera Korea Utara menganggarkan jarak pelancaran pada Khamis itu sebagai 6,200 kilometer - iaitu lebih jauh berbanding peluru berpandu balistik rentas benua sebelum ini, Hwasong-15, yang diuji oleh Korea Utara pada November 2017.

Peluru berpandu itu gugur di zon ekonomi khusus Jepun, mencetuskan kemarahan Tokyo.

Namun KCNA menyatakan ujian itu dijalankan "dalam kaedah pelancaran secara menegak" bagi mengurangkan keprihatinan keselamatan negara-negara jiran.

Menyusuli ujian itu, Washington mengenakan sekatan baru terhadap entiti dan penduduk di Rusia dan Korea Utara yang dituduh "menghantar bahan-bahan sulit kepada program peluru berpandu Korea Utara".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan