Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura kaji usulan pinda undang-undang bagi cegah penipuan ubah elok

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang mengkaji jika ada ruang untuk meminda undang-undang sedia ada bagi menjadikannya lebih mudah untuk membuktikan penipuan dalam kes-kes di mana kerja-kerja ubah elok tidak dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang mengkaji jika ada ruang untuk meminda undang-undang sedia ada bagi menjadikannya lebih mudah untuk membuktikan penipuan dalam kes-kes di mana kerja-kerja ubah elok tidak dijalankan.

Dalam responsnya kepada soalan Anggota Parlimen (AP) Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) berhubung penipuan ubah elok, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata dalam jawapan bertulisnya pada Isnin (4 Jul) bahawa polis menyiasat 100 kes melibatkan kontraktor ubah elok yang tidak bertanggungjawab antara tahun 2019 hingga 2021.

Setakat ini, 72 daripada kes-kes itu sudahpun didakwa di mahkamah, kata beliau, sambil menambah kementerian itu tidak dapat mendedahkan butiran kes yang berlaku tahun ini memandangkan siasatan masih dijalankan.

Encik Shanmugam berkata penipuan ubah elok biasanya melibatkan kontraktor yang meminta mangsa membuat bayaran bagi kerja-kerja ubah elok yang dijanjikan, yang sama ada cuma sebahagiannya sudah siap atau tidak dilaksanakan langsung.

Kontraktor yang menipu mangsa supaya membuat bayaran pendahuluan tanpa sebarang niat untuk menjalankan kerja-kerja ubah elok boleh didakwa dengan tuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Jenayah.

Beliau juga mengarahkan MHA supaya mengkaji sama ada terdapat peluang untuk meminda undang-undang bagi menjadikannya lebih mudah untuk membuktikan ada berlaku penipuan dalam kes-kes sedemikian, menurut Encik Shanmugam.

Kementerian itu menambah bahawa ia boleh menjadi sukar untuk mendapatkan semula wang yang hilang dalam penipuan seumpama itu, meskipun pelaku itu sudahpun dimasukkan ke dalam penjara, kerana mereka mungkin tidak lagi mempunyai wang itu.

Beliau menasihatkan para pemilik rumah supaya mendapatkan khidmat kontraktor dengan rekod yang baik, seperti mereka yang ditauliahkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dan Kontraktor-Kontraktor Ubah Elok Singapura.

Pada Februari tahun ini, pemilik sebuah syarikat ubah elok mengaku bersalah atas 29 tuduhan, kebanyakannya kerana menipu. Chan Chee Kuen, 49 tahun, menipu 110 individu sebanyak S$247,000 dari segi kerja-kerja ubah suai dan dia juga menyasarkan blok-blok yang dipilih oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi Program Peningkatan Rumah (HIP).

Tahun lalu, jumlah aduan terhadap kontraktor ubah elok melonjak hampir 5 peratus. Hampir separuh aduan itu adalah mengenai hasil kerja tidak memuaskan atau kontraktor gagal menyiapkan projek tepat pada masanya, menurut data CASE.

Pemerhati pengguna itu berkata pihaknya menerima sekitar 1,300 aduan terhadap kontraktor ubah elok rumah pada 2021.

Kenaikan jumlah aduan disebabkan oleh kekurangan tenaga manusia yang berpanjangan dan bahan-bahan asli yang timbul daripada penguatkuasaan sekatan sempadan disebabkan oleh COVID-19, pemintaan tertunggak dalam pasaran hartanah dan permintaan susulan bagi renovasi rumah tahun lalu.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan