Skip to main content

Singapura

S'pura, Jepun meterai perjanjian dipertingkat berhubung kerjasama pertahanan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura dan Jepun memeterai satu memorandum persefahaman dipertingkat berhubung pertukaran pertahanan yang mengenal pasti bidang-bidang kerjasama baru.

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan pada Sabtu (11 Jun). 

Bidang-bidang itu termasuk sokongan logistik, pertukaran berhubung pertahanan teknologi, perlindungan terhadap ancaman-ancaman Kimia, Biologi, Radiologi dan Bahan Letupan (CBRE), perhubungan strategik serta keselamatan maritim, dedah MINDEF. 

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Pertahanan Jepun Nobuo Kishi menandatangani perjanjian itu di luar acara Dialog Shangri-la. 

Memorandum Persefahaman mengenai Pertukaran Pertahanan pertama kali dimeterai pada 2009 antara Menteri Pertahanan ketika itu, Encik Teo Chee Hean, dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Toshimi Kitazawa. 

Perjanjian asal itu merasmikan interaksi pertahanan antara Singapura dengan Jepun seperti pertukaran lawatan oleh para pegawai pertahanan, penganjuran dialog dasar dan perbincangan kakitangan tentera serta kursus dan seminar yang melibatkan pegawai-pegawai dari kedua-dua negara.

Perjanjian pada 2009 itu juga membolehkan kedua-dua negara untuk meluaskan kerjasama pertahanan dalam bidang-bidang seperti bantuan kemanusian dan bantuan bencana serta operasi sokongan keamanan. 

Pada Sabtu, Singapura dan Jepun juga mengumumkan permulaan rundingan mengenai satu perjanjian melibatkan peralihan peralatan serta teknologi pertahanan. 

Perjanjian itu akan mewujudkan satu rangka kerja yang sah bagi mengimport dan mengeksport peralatan serta teknologi pertahanan antara kedua-dua negara, namun tidak mewajibkan mana-mana pihak untuk menjual mahupun membeli peralatan daripada pihak lain, menurut MINDEF. 

MINDEF nenambah perjanjian itu bagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Jepun berhubung eksport peralatan dan teknologi pertahanan dari Jepun sambil menarik perhatian bahawa negara-negara ASEAN lain sudahpun memeterainya. 

Kedua-dua negara juga akan meningkatkan kerjasama serantau dalam persekitaran berbilang hala seperti Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Plus, tambah MINDEF. 

Sumber : CNA/FZ/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita