S’pura, Indonesia bakal tandatangani perjanjian di Retreat Pemimpin esok
Singapura dan Indonesia akan menandatangani satu set perjanjian meliputi pengurusan ruang udara, penghantaran pulang dan kerjasama pertahanan apabila para pemimpin mereka bertemu di Bintan esok (25 Jan).

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia Joko Widodo di majlis pemeteraian, (Gambar: Amir Yusof)
SINGAPURA: Singapura dan Indonesia akan menandatangani satu set perjanjian meliputi pengurusan ruang udara, penghantaran pulang dan kerjasama pertahanan apabila para pemimpin mereka bertemu di Bintan esok (25 Jan).
Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia Joko Widodo akan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran perjanjian yang dirundingkan berdasarkan Rangka Kerja Perbincangan yang diumumkan semasa Retreat Pemimpin pada 2019, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini (24 Jan).
Set perjanjian itu termasuk penjajaran semula sempadan antara Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Jakarta dan FIR Singapura serta perjanjian bagi penghantaran pulang pelarian.
Akan ada juga satu kenyataan bersama antara bersama antara para menteri pertahanan mengenai Perjanjian Kerjasama Pertahanan 2007 dan Pengaturan Pelaksanaannya antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi Kawasan Latihan Ketenteraan di Indonesia serta Pertukaran Surat untuk melaksanakan perjanjian itu serentak.
FIR ialah wilayah khusus ruang udara di mana pihak berkuasa khidmat trafik udara yang dilantik oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menyediakan dan mengurus maklumat penerbangan dan khidmat amaran.
FIR sedia ada Singapura, yang diuruskan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), termasuk ruang udara Singapura serta ruang udara di beberapa bahagian Indonesia dan Laut China Selatan.
Indonesia sudah berulang kali menyatakan hasratnya untuk mengambil alih kawalan FIR di atas kepulauan Riau, yang sudah diuruskan oleh Singapura sejak 1946 seperti mandat yang diberi oleh ICAO.
Singapura sudah berulang kali menyatakan bahawa FIR bukanlah isu kedaulatan tetapi mengenai keselamatan dan kecekapan trafik udara komersial.
Pertemuan di Bintan merupakan Retreat Pemimpin Singapura dan Indonesia yang kelima.
Para pemimpin juga akan menyokong pengumuman beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani menjelang retreat itu, termasuk dalam kerjasama kewangan dan ekonomi, pembangunan ekonomi hijau dan kitar semula, kerjasama tenaga, dan pembangunan modal insan, menurut PMO.
"Perdana Menteri Lee dan Presiden Joko Widodo akan mengkaji kemajuan yang dicapai dalam kerjasama dua hala sejak Retreat Pemimpin yang lalu dan membincangkan cara-cara untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang-bidang keutamaan bagi kedua-dua negara," tambah PMO.
"Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global."
Kali terakhir PM Lee dan Encik Widodo bertemu pada 8 Oktober 2019 di Singapura, bagi retreat tahunan yang biasanya diadakan untuk memupuk hubungan dua hala. Retreat tidak diadakan sejak pandemik COVID-19.
Semasa retreat yang lalu itu, kedua-dua negara bersetuju dengan Rangka Kerja Perbincangan mengenai dua isu: Status FIR dan latihan ketenteraan mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
PM Lee kemudian berkata bahawa rangka kerja itu mengakui bahawa kepentingan teras dan hak kedua-dua negara mesti diiktiraf dan dihormati dan kedua-dua pihak harus merundingkan persetujuan mengenai dua isu itu yang boleh bertahan lama dan untuk jangka yang panjang.
Semasa lawatan esok, PM Lee akan diiringi oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang K Shanmugam, Menteri Pengangkutan S Iswaran dan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.