Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura hulur pakej bantuan jagaan kesihatan khas S$750,000 kepada Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura hulur pakej bantuan jagaan kesihatan khas S$750,000 kepada Palestin

Gambar: Ministry of Foreign Affairs, Singapore

SINGAPURA: Singapura menghulurkan pakej bantuan jagaan kesihatan khas bernilai kira-kira S$750,000 kepada Penguasa Palestin, termasuk pelitup dan kit ujian COVID-19, menurut kenyataan media Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Ahad (20 Mac).

Pakej bantuan tersebut termasuk 10,000 kit ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) COVID-19 yang dihasilkan oleh Alliance BioMed yang berpangkalan di Singapura dan 30,000 pelitup guna semula Air+ yang disumbangkan oleh Yayasan Temasek.

Pakej itu juga menawarkan kursus jagaan kesihatan yang direka khas dan biasiswa pos-siswazah yang bermatlamat untuk melatih para penggubal dasar dan karyawan jagaan kesihatan Palestin, menurut kenyataan tersebut.

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan yang kini berada di Ramallah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Penguasa Palestin Mohammad Shtayyeh dan Menteri Ehwal Luar Riyad Al-Malki. Dr Balakrishnan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Mai Al-Kaila pada lewat Ahad.

Dalam pertemuan itu, Dr Balakrishnan turut menegaskan hubungan erat dan muhibah antara Singapura dengan Penguasa Palestin, menurut MFA.

"Bagi pihak Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Vivian Balakrishnan menyampaikan surat bagi mengundang Presiden Abbas dan Perdana Menteri Mohammad Shtayyeh untuk melakukan lawatan ke Singapura, dengan undangan tersebut disambut baik oleh kedua-dua pemimpin Palestin itu," tambah MFA.

PM Lee melakukan lawatan ke Wilayah Palestin pada 2016, dengan lawatan tersebut merupakan lawatan pertama oleh seorang perdana menteri dari Singapura.

Dalam lawatannya itu, Dr Balakrishnan turut menegaskan komitmen Singapura untuk terus menyokong Penguasa Palestin melalui pembinaan kapasiti dan menggalak lebih ramai pegawai Palestin untuk menyertai kursus-kursus latihan di bawah Pakej Bantuan Teknikal yang Dipertingkat (ETAP) bernilai S$10 juta.

Pakej tersebut menawarkan tajaan bagi kursus-kursus latihan yang direka khas, lawatan sambil belajar dan biasiswa pos-siswazah dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh para pegawai Palestin.

Lebih 600 rakyat Palestin sudah meraih manfaat daripada pakej tersebut sejauh ini, dengan 13 lawatan sambil belajar yang direka khas untuk Penguasa Palestin dan lapan biasiswa pos-siswazah ditawarkan.

"Untuk memudahkan Penguasa Palestin melaksanakan ETAP, Menteri Vivian Balakrishnan turut menyampaikan hasrat Singapura untuk menubuhkan sebuah pejabat perwakilan di Ramallah untuk menyelaraskan segala bantuan teknikal kepada Penguasa Palestin dan menyokong kerja-kerja yang dijalankan oleh wakil Singapura untuk Penguasa Palestin," menurut MFA lagi.

Encik Al-Malki mengalu-alukan penubuhan pejabat berkenaan, tambah kenyataan tersebut.

Pada 2016, Singapura melantik Encik Hawazi Daipi sebagai wakil Singapura bukan pemastautin yang pertama bagi Penguasa Palestin.

"Menteri Vivian Balakrishnan menekankan sokongan berprinsip Singapura sejak sekian lama kepada huraian dua negara yang seiring dan konsisten dengan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan Israel dan Palestin saling hidup aman damai untuk mencapai penyelesaian yang berkekalan, adil dan menyeluruh," menurut MFA.

Dr Balakrishnan kini sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Timur Tengah. Selain Wilayah Palestin, beliau telah melakukan lawatan ke Bahrain pada Sabtu dan beliau juga akan mengadakan lawatan ke Israel.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan