Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura harus tingkatkan kepelbagaian sumber makanan sedang gangguan makanan berterusan, gesa PM Lee

Singapura mesti melakukan lebih banyak lagi untuk mempelbagaikan sumber makanannya sedang negara-negara di seluruh dunia berkemungkinan terus mengutamakan bekalan tempatan di tengah-tengah harga yang melambung tinggi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (25 Jun).
 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura harus tingkatkan kepelbagaian sumber makanan sedang gangguan makanan berterusan, gesa PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong bercakap kepada media Singapura di akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) di Kigali pada 25 Jun 2022. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud/CNA)

KIGALI, Rwanda: Singapura mesti melakukan lebih banyak lagi untuk mempelbagaikan sumber makanannya sedang negara-negara di seluruh dunia berkemungkinan terus mengutamakan bekalan tempatan di tengah-tengah harga yang melambung tinggi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (25 Jun).

Encik Lee berkata demikian kepada media Singapura ketika menggulung lawatannya ke Kigali sempena menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM).

Di mesyuarat itu, Encik Lee juga menggesa dunia agar tidak mengamalkan dasar perlindungan sedang dunia mengalami kejutan rantaian bekalan berkaitan pandemik.

Perdana Menteri pada Sabtu menyifatkan keadaan itu sebagai "membimbangkan" tetapi menambah bahawa ia juga "bukan begitu mengejutkan" menyaksikan negara-negara menutup pasaran eksport masing-masing sedang bekalan merosot dan harga meningkat.

Misalnya, Encik Lee menarik perhatian bagaimana perang di Ukraine mengganggu eksport berjuta-juta tan bijirin, menyebabkan kekurangan pada stok makanan ternakan lantas meningkatkan harga ayam.

“Negara-negara berada di bawah tekanan dan ia akan membuat sesuatu. Ia bukan mengikut peraturan WTO (Pertubuhan Perdagangan Sedunia). Anda tidak sepatutnya menutup pasaran anda apabila berlaku kekurangan bekalan. Namun di bawah tekanan, inilah yang dilakukan pemerintah," ujarnya.

“Kita adalah pengimport makanan, maka ia suatu masalah buat kami. Ia satu masalah yang sudah kami jangkakan apabila COVID melanda."
Singapura katq Encik Lee bimbang tentang bekalan daging, sayur-sayuran dan karbohidrat. Beliau menambah pihak berkuasa sudahpun mula memperluaskan bekalan makanan dan mempelbagaikan import dari lebih banyak negara.

“Namun saya rasa masalah ini akan berlarutan. Kita perlu melakukan lebih banyak lagi dan MTI (Kementerian Perdagangan dan Perusahaan) sedang bertungkus-lumus mengusahakannya sekarang."

Selepas Malaysia berhenti mengeksport ayam mulai 1 Jun untuk mengutamakan bekalan tempatan, Singapura bertindak dengan beralih kepada mengimport produk ayam beku dari negara-negara lain seperti Australia serta Thailand.

Pada 2021, sekitar sepertiga import ayam Singapura datang dari Malaysia dengan kebanyakannya adalah ayam hidup yang akan disembelih dan disejukkan di Singapura.

Sedari itu, Malaysia sudahpun menarik balik sebahagian larangannya, membolehkan Singapura menyambung semula import ayam kampung dan ayam hitam bermula 14 Jun.

Encik Lee pada Sabtu menggalak penduduk di Singapura supaya lebih memahami keadaan dan fleksibel dalam memilih makanan mereka sambil berkata bahawa sikap sedemikian akan "membantu".

PERANG UKRAINE AKAN "BERTERUSAN"

Selain gangguan bekalan makanan, Encik Lee juga membincangkan dengan pemimpin Komanwel lain mengenai perang di Ukraine yang beliau jangkakan akan "berterusan buat beberapa waktu".

Pasukan Rusia sudahpun menawan bandar Sievierodonetsk di timur Ukraine pada Sabtu, satu tamparan besar kepada Kyiv selepas pertempuran paling berdarah buat beberapa minggu dalam perang tersebut.

“Jika anda tanya saya tentang keadaan perang di Ukraine, ia akan berterusan buat beberapa waktu, tanpa mengambil kira sama ada atau tidak Ukraine memohon keahlian dalam Kesatuan Eropah (EU)," ujar Encik Lee.

Encik Lee berkata ini membawa khabar buruk buat kedua-dua negara dan malah untuk seluruh dunia kerana perang tersebut akan membawa "ketidaktentuan, ketidakstabilan, ketegangan, kemungkinan salah perhitungan dan konflik yang meningkat serta semakin meluas".

"Kesan sampingan" perang itu, termasuk inflasi dan gangguan bekalan makanan, juga akan dirasai tempiasnya memandangkan pandemik belum berakhir lagi, kata Encik Lee.

Beliau menarik perhatian bagaimana Singapura mengalami gelombang kes COVID-19 yang meningkat dek subvarian Omicron BA4 dan BA5.

DUNIA DALAM "KEDUDUKAN BARU"

Menambah kepada cabaran tersebut adalah ketegangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa Washington tidak lagi melihat kebangkitan China sebagai "tidak berbahaya".

"Dunia kini berada dalam kedudukan yang baru," kata Encik Lee.

“Lantaran itu, ia bukan lagi satu keadaan di dunia di mana negara besar bersaing antara satu sama lain, tetapi pada dasarnya menjejas keamanan. Anda sebenarnya mempunyai lawan, permusuhan dan pertumpahan darah.”

Negara-negara kecil menjadi bimbang apabila ketegangan memuncak antara kuasa besar, kata Encik Lee, terutama sekali jika mereka terpaksa memilih pihak.

Encik Lee juga meramalkan persaingan mungkin berlaku untuk melibatkan negara-negara Asia, sambil merujuk bagaimana inisiatif ekonomi global seperti Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik AS dan Inisiatif Pembangunan Global China mempunyai "idea yang bercanggah".
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan