Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura harus kekal terbuka kepada pelaburan & bakat; penting demi kemajuan negara, tegas SM Teo

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura harus kekal terbuka kepada pelaburan & bakat; penting demi kemajuan negara, tegas SM Teo

(Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

SINGAPURA: Bandar-bandar seperti Singapura harus kekal terbuka kepada pelaburan dan bakat dari seantero dunia, kata Menteri Kanan Teo Chee Hean pada Isnin (1 Ogos).

Semasa berucap di Sidang Puncak Bandar Sedunia (WCS) tahun ini, Encik Teo berkata: "Ini penting untuk mencipta kemajuan, memastikan ekonomi-ekonomi kekal inovatif dan bertenaga, justeru menawarkan pekerjaan dan peluang lebih baik untuk rakyat masing-masing."

Bandar-bandar akan menjadi lebih maju jika terus bersikap terbuka, memikat pekerja berkemahiran, menghimpunkan mereka untuk mencetuskan idea baru dan memacu pertumbuhan ekonomi, kata Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

"Walau bagaimanapun, di seluruh dunia, keterbukaan juga membawa kepada sikap anti-globalisasi, populisme dan kebencian terhadap pendatang baru ke sesebuah bandar atau negara," tambahnya.

"Ini terutama sekali apabila gangguan pada kemajuan teknologi dan globalisasi dapat dirasakan dalam kalangan penduduk, dan hasil globalisasi tidak diagihkan dengan adil dan saksama," ujar Encik Teo, sambil menarik perhatian bahawa perkara ini boleh disaksikan di bandar-bandar utama merata dunia dan juga di Singapura.

"Daripada menutup ekonomi kita, bandar-bandar harus kekal terbuka kepada pelaburan dan bakat dari seluruh dunia," tambahnya lagi.

Bandar-bandar ini pula harus menumpukan perhatian kepada usaha bagi memastikan rakyat masing-masing bersiap sedia untuk merebut peluang baru yang diwujudkan, kata Menteri Kanan itu.

"Dengan berbuat demikian, ia akan memastikan sesebuah bandar itu dapat terus maju, di samping memastikan rakyat masing-masing dilengkapi dengan kemahiran secukupnya untuk bersaing secara adil bagi merebut pekerjaan-pekerjaan baru yang diwujudkan."

Membina kepercayaan antara rakyat dan pemimpinnya juga penting demi pembangunan bandar dan negara dan ia menjadi asas untuk mengharungi krisis, kata Encik Teo.

"Usaha kolektif yang disaksikan sewaktu pandemik COVID-19 adalah contoh yang baik bagi daya tahan sosial, kesepaduan dan hubungan yang banyak bandar sudah berhasil membangunkan sepanjang beberapa tahun yang lalu," tambahnya.

Bandar-bandar "harus terus berbuat demikian" dan terus mencari jalan untuk mewujudkan modal sosial, ujar Encik Teo.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan