S'pura harus bersedia hadapi cabaran ekonomi, Pemerintah lakukan 'segala yang termampu' untuk kurangkan kesan, kata PM Lee
SINGAPURA: Di tengah-tengah perang di Ukraine dan peningkatan kos sara hidup, rakyat Singapura harus bersedia untuk menghadapi lebih banyak cabaran ekonomi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (1 Mei).
Namun Pemerintah kata PM Lee akan "melakukan segala yang termampu untuk mengurangkan kesan ke atas rakyat Singapura dan mengurangkan tekanan kos sara hidup".
Unjuran bagi pemulihan ekonomi Singapura pasca pandemik semakin menjadi kurang jelas dan risikonya meningkat, tambah Encik Lee sambil memberi amaran bahawa kemelesetan mungkin berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang.
Berucap kepada anggota kesatuan di Downtown East dan mereka yang hadir secara maya di Rapat Hari Buruh, PM Lee berkata, meskipun Pemerintah sedang sedaya upaya melakukan apa yang boleh untuk mengurangkan kesan perang Ukraine ke atas rakyat Singapura dan meringankan tekanan kos sara hidup, Singapura harus bersiap sedia menghadapi cabaran-cabaran ekonomi akan datang.
Disebabkan kenaikan harga tenaga akibat "keadaan sejagat yang menghambat pertumbuhan", Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura akan berkurangan sekitar S$8 bilion setahun, kata beliau.
"Jika perang itu berlarutan menjangkaui sempadan Ukraine atau senjata-senjata bukan konvensional digunakan, tiada orang yang dapat mengawal keadaan itu," tambah beliau.
Rakyat Singapura juga sudah dapat merasakan kesan perang itu ke atas kos sara hidup.
"Iinflasi sudah pun menimbulkan masalah di sini sebelum berlakunya perang di Ukraine,tetapi ia memburukkan lagi keadaan," ujar PM Lee.
Rusia merupakan pengeksport utama bagi minyak dan gas dan perang tersebut mencetuskan krisis tenaga, yang menyebabkab harga elektrik dan petrol melambung. Harga makanan sejagat juga meningkat, dengan Ukraine sebagai salah satu pengeksport terbesar bijirin dan minyak sayuran.
"Pemerintah sedang sedaya upaya melakukan apa yang termampu untuk mengurangkan kesannya ke atas rakyat Singapura dan meringankan tekanan kos sara hidup," kata PM Lee sambil berkongsi beberapa langkah yang telah dilaksanakan Pemerintah semasa Belanjawan tahun ini.
Pakej Bantuan Keluarga Tambahan katanya mengandungi banyak langkah langsung untuk membantu keluarga, seperti rebat U-Save, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat dan rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan.
MAS juga mengetatkan dasar kewangannya untuk mengurangkan inflasi import, yang menjadi sebab nilai dolar Singapura meningkat. Langkah-langkah juga diambil untuk menjamin bekalan makanan dan tenaga, sekiranya bekalan terjejas dek perang yang berlarutan.
"Semua ini akan membantu, tetapi kita mesti bersiap sedia berdepan dengan lebih banyak cabaran ekonomi dalam tahun akan datang," tekan PM Lee.
Inflasi akan kekal tinggi dan bank pusat utama sedang mengetatkan dasar-dasar kewangan masing-msing.
"Pertumbuhan global akan semakin lemah dan mungkin berlaku kemelesetan dalam tempoh dua tahun akan datang," tambah beliau.
"Singapura amat terikat dengan ekonomi global (dan) memandangkan saiz kita yang kecil, Singapura sentiasa menjadi penerima harga dalam pasaran dunia, maka kita tidak dapat mengelak cabaran-cabaran sejagat."
Misalnya, Singapura mengimport hampir kesemua bekalan tenaganya, kecuali elektrik suria yang dijananya sendiri.
Apabila harga minyak mencapai sekitar AS$50 (S$69) satu tong, import tahunan minyak mentah dan gas asli yang perlu ditanggung Singapura adalah sekitar S$30 bilion setahun.
"Apabila harga minyak naik seganda dari AS$50 kepada AS$100, yang sudah bermula sejak awal tahun lalu, kita terpaksa membayar seganda lebih tinggi juga. Ini bermakna kita semua perlu membayar tambahan S$30 bilion setahun," kata beliau.
Meskipun sebahagian kos tambahan itu boleh diperolehi dengan mengenakan lebih banyak caj bagi eksport, bakinya perlu ditanggung keluarga, perniagaan dan Pemerintah Singapura.
"MTI (Kementerian Perdagangan dan Perusahaan) menganggarkan GDP Singapura akan berkurangan sekitar S$8 bilion setahun, bermakna 1.5 peratus GDP kita," kata PM Lee.
"Ini bermakna kita di Singapura secara bersama kekurangan S$8 bilion setahun dan tiada ruang untuk terlepas daripada keadaan itu."
Skim-skim bantuan Pemerintah mungkin membantu mengongsi beban dan meringankan tekanan ke atas isi rumah dalam jangka pendek, namun ia "ia tidak menghuraikan masalah kita" pada jangka panjang, tambah beliau.
"Kita harus menangani isu asas: yakni harga tenaga dan makanan yang lebih mahal menempatkan kita dalam keadaan lebih buruk dan huraian asasnya adalah untuk kita lebih produktif, mengubah perniagaan kita dan mengembangkan ekonomi kita untuk meningkatkan kehidupan semua orang," kata beliau.
Hanya dengan cara itu pendapatan boleh bertambah dan "dapat mengimbangi" harga tenaga dan makanan lebih tinggi.
PEMBAHARUAN KEPIMPINAN
PM Lee juga menyentuh tentang tampuk kepimpinan politik dan persediaan bagi penggantinya. Beliau menggesa pemimpin kesatuan supaya menunjukkan sokongan kepada ketua 4G yang baru, iaitu Menteri Kewangan Lawrence Wong.
"Isu itu bermain di fikiran saya sejak garis masa untuk seseorang mengambil alih jawatan saya terjejas oleh virus (COVID-19)," kata beliau.
Beliau menambah, Encik Wong muncul sebagai "pilihan sebulat suara", setelah dipersetujui oleh semua rakan-rakan Kabinetnya dan kemudian oleh anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan 4G.
Encik Wong akan memikul tanggungjawab berat dan perlu memimpin Singapura dalam dunia yang berbeza dan tidak menentu, kata beliau.
Encik Wong memerlukan sokongan penuh rakan-rakan Kabinetnya dan juga bergantung kepada pemimpin kesatuan untuk bekerjasama dengannya serta pasukan beliau.
"Saya meminta anda untuk memberikan Lawrence Wong dan pasukannya sokongan penuh anda," kata PM Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.