S'pura harap terus dapat lakukan lebih banyak lagi bagi bantu Palestin
Singapura berharap dapat melakukan lebih banyak lagi untuk Palestin di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi menyokong pembangunan Penguasa Palestin (PA).

(Gambar: BERNAMA)
SINGAPURA: Singapura berharap dapat melakukan lebih banyak lagi untuk Palestin di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi menyokong pembangunan Penguasa Palestin (PA).
Menteri Kedua Ehwal Luar (MFA) Dr Mohd Maliki Osman yang berkata demikian di parlimen hari ini (3 Mar) menambah, di bawah ETAP, bantuan yang diberi kepada Palestin digandakan daripada S$5 juta kepada S$10 juta pada 2016.
"Sejauh ini, ETAP telah memberi manfaat kepada lebih 600 pegawai Palestin yang telah menyertai pelbagai kursus dalam bidang seperti Pentadbiran Awam, Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Bandar.
"Latihan-latihan ini telah diteruskan dalam talian buat masa ini disebabkan pandemik," kata Dr Maliki sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkharnain Abdul Rahim, semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) Belanjawan 2022.
Di bawah pakej itu juga, Singapura berupaya membantu pendidikan rakyat Palestin dalam bentuk biasiswa possiswazah dalam pelbagai bidang termasuk jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dr Maliki menambah, sekarang ini terdapat dua orang pelajar dari Palestin yang sedang menuntut di peringkat sarjana.
"Saya telah sempat bertemu dengan salah seorang pelajar pada minggu lalu. Beliau sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam perhubungan antarabangsa di (RSIS) Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Kami berharap akan dapat terus melakukan lebih banyak lagi di bawah ETAP bagi menyokong pembangunan pihak Penguasa Palestin," kongsi Dr Maliki.
Sementara itu menyentuh mengenai isu Israel-Palestin, Dr Maliki berkata perlu wujud kesungguhan politik di antara kedua-dua pihak untuk untuk mencapai persetujuan melalui rundingan damai serta menghentikan lingkaran keganasan.
"Singapura kekal teguh dalam sokongan kami untuk penyelesaian dua-negara (two-state solution) yang dirundingkan, bagi membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup bersebelahan dalam keamanan dan keselamatan yang selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa.
"Ini adalah satu-satunya pilihan yang mampu dilaksanakan untuk mencapai penyelesaian yang berdaya tahan, adil dan komprehensif," kata beliau kepada Dewan sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Alex Yam.
Encik Yam turut bertanya tentang kesan Perjanjian Ibrahim (Abraham Accord) yang dicapai antara Israel dengan beberapa negara Timur Tengah.
Menjawab, Dr Maliki berkata selepas memeterai perjanjian tersebut, hubungan antara Israel dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi "berkembangan dengan cepat".
Ini beliau sifatkan sebagai perkembangan positif.
"Kami berharap Perjanjian Ibrahim akan menjadi asas bagi keamanan dan kestabilan di rantau tersebut," kata Dr Maliki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.