Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura harap AS, China kawal, elak sebarang tindakan yang boleh burukkan lagi ketegangan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura pada Rabu (3 Ogos) menyatakan ia berharap Amerika Syarikat (AS) dan China akan mengawal dan mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan di tengah-tengah "perkembangan rentas selat" yang membimbangkan. 

Mesyuarat Menteri-Menteri Ehwal Luar (AAM) Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang ke-55 berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada waktu yang mana "keadaan amat tidak menentu dan tidak terjamin," menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dalam kenyataan medianya. 

"AAM membincangkan perkembangan rentas selat itu dengan rasa prihatin," menurut MFA. 

"Hubungan stabil antara AS dengan China penting untuk keamanan dan kemakmuran serantau. Singapura berharap AS dan China akan mencapai modus vivendi, mengawal dan mengelakkan daripada tindakan-tindakan yang akan memburukkan lagi ketegangan."

Modus vivendi merujuk kepada aturan atau perjanjian yang membolehkan pihak-pihak yang bertelagah hidup bersama secara aman, sama ada sampai bila-bila atau sehingga satu penyelesaian dicapai.

Speaker Dewan AS Nancy Pelosi tiba di Taiwan pada Selasa malam (2 Ogos) dan berangkat pada petang Rabu (3 Ogos) setelah mengadakan pertemuan dengan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen. 

China mengecam lawatan tersebut, menyifatkannya sebagai "provokasi" daripada pihak AS dan menegaskan bahawa ia akan menjalankan latihan ketenteraan di sekitar pulau tersebut. 

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menghadiri mesyuarat di Kemboja itu. Mesyuarat tersebut berbincang secara mendalam mengenai perkembangan terkini serantau dan sejagat, termasuk situasi di Myanmar, pencerobohan Rusia di Ukraine dan perkembangan rentas selat. 

"ASEAN menarik perhatian bahawa tiada kemajuan dari segi pelaksanaan Konsensus Lima Perkara," menurut kenyataan MFA. 

"Keputusan tentera junta Myanmar untuk melaksanakan hukuman mati terhadap empat aktivis demokrasi seminggu sebelum AMM adalah tamparan hebat bagi usaha ASEAN untuk memudahkan huraian kedamaian dan penyatuan nasional di Myanmar.

"Ia juga tidak menghormati usaha Pengerusi ASEAN Kemboja dan Wakil Khas ASEAN ke Myanmar."

ASEAN turut menegaskan sekali lagi pentingnya pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, menurut MFA. 

"Tanpa sebarang kemajuan dari segi ini, nilai pelibatan dengan pihak berkuasa tentera Myanmar pada masa akan datang akan terhad. 

"ASEAN sedang mencari jalan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar," menurut kementerian tersebut. 

Dr Balakrishnan menekankan gesaan Singapura untuk membebaskan semua tahanan politik, termasuk Presiden Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, dan untuk Wakil Khas ASEAN ke Myanmar mempunyai akses kepada semua pihak berkepentingan. 

AMM juga berbincang mengenai kesan negatif pencerobohan Rusia ke Ukraine, khususnya kepada harga tenaga dan makanan. 

"ASEAN sekali lagi menegaskan untuk serta-merta menghentikan permusuhan dan menyambung semula dialog secara damai antara semua pihak yang terlibat. ASEAN berharap eksport bijirin daripada Ukraine akan pulih kepada tahap sebelum konflik," menurut kenyataan MFA lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan