Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura hadapi lebih banyak jenayah siber, pancingan data & ancaman perisian tebusan pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Firma-firma dan para individu di Singapura berdepan dengan jenayah siber yang semakin meningkat termasuk pancingan data dan ancaman perisian tebusan pada tahun lalu. 

Demikian menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada Isnin (29 Ogos). 

Sebanyak 137 kes perisian tebusan dilaporkan pada 2021, melonjak 54 peratus berbanding 89 kes yang dilaporkan pada 2020. 

Sebahagian besar kes tersebut menjejas syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) daripada sektor-sektor seperti pengilangan dan teknologi maklumat (IT), menurut CSA dalam laporan tahunan Landskap Siber Singapura. 

Kumpulan-kumpulan perisian tebusan yang menyasarkan syarikat-syarikat SME menggunakan model "Ransomware-as-a-Service", yang menjadikan perisian tebusan canggih boleh diakses oleh para penjenayah siber yang kurang licik dari segi kemahiran teknikal.

Ini memudahkan para penggodam amatur menggunakan infrastruktur sedia ada untuk menyebarkan perisian tebusan, menurut CSA. 

Kes-kes memancing data peribadi juga meningkat sebanyak 17 peratus pada tahun lalu, dengan sekitar 55,000 URL pancingan data dengan domain ".sg" dikesan.

Pada 2020, 47,000 URL pancingan data sedemikian dikenal pasti. 

Firma-firma rangkaian sosial membentuk lebih separuh daripada kes-kes pancingan data, menurut CSA. 

Para penipu juga mengambil kesempatan daripada penularan varian Omicron semasa pandemik COVID-19 pada hujung 2021 untuk melakukan penipuan melibatkan lelaman web pemerintah, menurut CSA. 

PENIPUAN ONLINE JENAYAH SIBER NOMBOR SATU

Pasukan Polis Singapura (SPF) juga melaporkan jenayah siber sebagai satu keprihatinan utama, dengan 22,219 kes dicatatkan pada tahun lalu - naik 38 peratus berbanding 16,117 kes pada 2020. 

Penipuan online membentuk kategori jenayah paling membimbangkan di Singapura, menyumbang 81 peratus kes.

17 peratus pula merupakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan baki dua peratus adalah kes peras ugut siber.

CSA turut menarik perhatian bahawa terdapat 3,300 server berniat jahat yang dihoskan di Singapura pada tahun lalu. Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak tiga kali ganda berbanding 1,026 yang dilaporkan pada 2020. 

Ia juga merupakan jumlah terbesar server yang dicatatkan sejak 2017. 

Sekitar 4,800 dron 'botnet' dengan alamat IP Singapura dikesan setiap hari pada tahun lalu, merosot 27 peratus daripada purata harian sebanyak 6,600 pada 2020. 

Jumlah kes merosakkan laman web merosot sebanyak 15 peratus daripada 495 kes pada 2020 kepada 419 kes pada tahun lalu, dengan sebahagian besar mangsa adalah firma-firma SME. 

Ini mungkin boleh dikaitkan dengan aktiviti penggodam yang berpindah ke platform lain, dengan jangkauan yang berpotensi lebih luas seperti lelaman media sosial, menurut CSA. 

KONFLIK RUSIA-UKRAINE, TREND PENIPUAN KRIPTO MESTI DIPANTAU 

Dalam laporannya, CSA turut menarik perhatian kepada dunia yang berkemungkinan mempunyai norma-norma siber, ekosistem dan piawaian yang berbeza dalam masa terdekat yang dicetuskan oleh  pergantungan global yang kian merosot terhadap teknologi Barat disebabkan oleh ketegangan geopolitik seperti konflik Rusia-Ukraine.

Negara-negara seperti China juga sedang berusaha untuk memastikan ia mampu menampung keperluannya sendiri, khususnya dalam bidang teknologi canggih, menurut CSA. 

Jenayah melibatkan mata wang kripto juga semakin meningkat, kebanyakan melalui penggunaan platform kewangan "peer-to-peer" untuk membolehkan urus niaga secara langsung. 

Akses tanpa sempadan bagi platform-platform sedemikian serta ciri-ciri tanpa nama menyulitkan lagi usaha untuk mengesan aktiviti-aktiviti haram dan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang rentas sempadan, menurut CSA. 

CSA juga mengenal pasti trend jenayah siber yang menyasarkan Peranti Disambungkan Internet (IoT).

"Jika pertubuhan-pertubuhan dalam industri kritikal dan sensitif masa seperti jagaan kesihatan diserang perisian tebusan, ia mungkin akan membawa kesan serius dan mengancam nyawa."

KESELAMATAN SIBER TANGGUNGJAWAB BERSAMA 

Meningkatkan kesedaran dan melaksanakan amalan-amalan keselamatan siber yang baik adalah kunci kepada usaha untuk meneruskan ekonomi digital dan cara hidup digital, menurut CSA.

Agensi itu sudah melancarkan inisiatif-inisiatif seperti Program Keselamatan Siber SG pada tahun lalu untuk membantu syarikat-syarikat melindungi diri mereka dengan lebih baik. 

Agensi tersebut juga memperkenalkan kit  keselamatan siber  untuk menampung dan memenuhi peranan berbeza setiap perusahaan.

"Landskap siber pada 2021 dicemari dengan ancaman-ancaman yang semakin rumit dan para pelaku yang semakin berani," kata Encik David Koh, Pesuruhjaya Keselamatan Siber dan Ketua Eksekutif CSA.

"Pemerintah sudah mempertingkatkan usaha untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melakukan lebih lagi tetapi keselamatan siber adalah tanggungjawab kita bersama. Hanya dengan bersatu dan bekerja merentasi sempadan, barulah kita berpeluang untuk membanteras ancaman yang kian berubah-ubah ini," tambah beliau. 

Sumber : CNA/FA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan