S'pura, China meterai perjanjian perdalam kerjasama pendidikan ketenteraan & pertukaran akademik

Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo
SINGAPURA: Singapura dan China memeterai perjanjian bagi memperdalam kerjasama dalam pendidikan ketenteraan untuk pegawai dan juga pertukaran akademik dalam kalangan akademi tentera dan badan pemikir, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan media hari ini (9 Jun).
Ini termasuk menghadiri kursus-kursus profesional bagi pegawai dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), serta lawatan sambil belajar dan dialog antara Institut Tentera SAFTI dan Akademi Sains Ketenteraan PLA.
Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen dan rakan sejawatannya dari China, Jeneral Wei Fenghe menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut.
Kedua-dua menteri itu bertemu di bangunan MINDEF pada Khamis petang (9 Jun) sebagai sebahagian daripada Dialog Menteri Pertahanan Singapura-China yang diadakan buat julung-julung kali.
Dialog menteri itu adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah perjanjian Pertukaran Pertahanan dan Kerjasama Keselamatan (ADESC) 2019 yang dipertingkat antara Singapura dengan China.
"Semasa dialog tersebut, kedua-dua menteri menegaskan semula komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala melalui penyambungan semula dan pengendalian latihan dua hala yang sudah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19," menurut kementerian itu.
"Kedua-dua menteri juga akan membincangkan isu keselamatan sejagat dan cara yang sesuai untuk mengukuhkan pertukaran pertahanan ASEAN-China dan kerjasama di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus."
Jeneral Wei berada di Singapura menjelang Dialog Shangri-La, di mana beliau pada Ahad (12 Jun) akan menyampaikan ucapan mengenai visi China untuk ketenteraman serantau.
Beliau juga akan bertemu dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean semasa lawatan beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.