S'pura boleh kurangkan jejak karbon alat hawa dingin Lapangan Terbang Changi agar jadi hab udara mampan

(Gambar: Hanidah Amin/CNA)
SINGAPURA: Singapura akan mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi jejak karbon alat penghawa dingin di Lapangan Terbang Changi, dan memasang panel suria berdekatan landasan kapal terbang dalam usaha untuk menjadi hab udara yang mampan.
Daya inisiatif itu membentuk dua daripada 15 saranan bagi sektor pengurusan lapangan terbang, syarikat penerbangan dan trafik udara yang dikemukakan sebuah panel kepada Pemerintah pada Jumaat (23 Sep), sedang Singapura berusaha untuk menangani perubahan iklim dalam sektor penerbangan tempatan dan sejagat.
"Apa saja perubahan dalam cuaca boleh menjejas, misalnya, prasarana lapangan terbang dan cara kami merancang pengurusan trafik udara," kata Profesor Chong Tow Chong, Pengerusi Panel Penasihat Antarabangsa bagi Hab Udara Mampan, kepada wartawan pada Jumaat (23 Sep).
"Jadi, saya rasa sudah tiba masanya, Singapura, sebagai hab penerbangan serantau dan antarabangsa, untuk benar-benar menangani isu ini dengan segera."
Panel itu ditubuhkan pada Februari untuk membincangkan bagaimana penerbangan antarabangsa boleh menjadi lebih mampan dan mudah diakses - dan bagaimana Singapura boleh menyumbang kepada usaha tersebut, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (23 Sep).
Panel itu terdiri daripada 20 rakan industri, teknologi dan pengetahuan dari Singapura dan merata dunia, termasuk wakil dari syarikat pengeluar pesawat seperti Boeing dan Airbus serta pengilangan enjin Rolls-Royce dan pembekal minyak jet Shell.
Sepanjang enam bulan yang lalu, mereka telah mengadakan empat mesyuarat dan enam sesi perbincangan dengan lebih 120 wakil setempat dan antarabangsa dari sektor penerbangan sebelum mengemukakan saranan berkenaan.
Panel itu sudah menyerahkan laporannya kepada Menteri Pengangkutan S Iswaran, membentangkan "laluan munasabah" agar sektor penerbangan Singapura dapat mengurangkan pelepasan karbon, menurut CAAS.
Pemerintah akan meneliti saranan-saranan tersebut dan menyertakannya dalam rangka tindakan yang akan diterbitkan pada 2023.
Ia akan melakarkan peta hala tuju untuk mengurangkan pelepasan karbon hab udara Singapura, menggariskan sasaran jangka sederhana 2030 dan jangka panjang 2050 serta cara-cara untuk mencapainya.
"Ini adalah satu inisiatif penting yang akan membantu memberikan kepimpinan dan mencetus lebih banyak pelaburan, tindakan dan kerjasama dengan syarikat sektor privet serta negara-negara lain," menurut CAAS lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.