Spura, AS bincang usaha perkukuh kerjasama tentera
Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama tentera antara Amerika Syarikat dengan Singapura bersama Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin.
Dr Ng Eng Hen bersama mantan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis. (Gambar: Facebook/Ng Eng Hen)
WASHINGTON: Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama tentera antara Amerika Syarikat dengan Singapura bersama Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin.
Semasa mesyuarat di Pentagon, Dr Ng dan Encik Austin membincangkan cabaran-cabaran termasuk pandemik, keselamatan siber, keganasan pelampau dan ancaman kepada rantau Asia Pasifik.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin menzahirkan penghargaan kepada Singapura atas sumbangan tenaga manusia dan pesawat untuk membantu pengunduran tentera Amerika dari Afghanistan.
"Singapura sentiasa merupakan rakan yang kukuh, berani dan bersedia dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan global," kata beliau.
Dr Ng pula menyuarakan penghargaan atas lawatan Encik Austin ke Singapura pada Julai lalu.
"Kata-kata anda memberi jaminan kepada kita dan sebab bagi kami untuk berpuas hati dengan hubungan pertahanan bersama," kata beliau.
MINDEF menyatakan Dr Ng dan Encik Austin mengesahkan hubungan pertahanan yang cemerlang dan kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua negara.
Dr Ng juga melahirkan penghargaannya kepada Amerika atas sokongan sejak sekian lama untuk mengadakan latihan SAF di negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.