Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bina sistem pertama simpan kuasa bateri; cekap guna tenaga di Terminal Pasir Panjang

Singapura sudahpun menubuhkan sistem penyimpanan kuasa bateri pertamanya untuk menguruskan penggunaan kuasa bateri tertinggi di hab pemunggahan kontena yang terbesar di dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura bina sistem pertama simpan kuasa bateri; cekap guna tenaga di Terminal Pasir Panjang

Modul-modul bateri disimpan dalam bekas bateri. (Gambar: PSA Corporation Ltd)

SINGAPURA: Singapura sudahpun menubuhkan sistem penyimpanan kuasa bateri pertamanya untuk menguruskan penggunaan kuasa bateri tertinggi di hab pemunggahan kontena yang terbesar di dunia. 

Projek di Terminal Pasir Panjang itu adalah sebahagian daripada kerjasama bernilai S$8 juta antara Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dengan PSA Corporation, menurut kedua-dua agensi itu dalam kenyataan media pada Rabu (13 Jul). 

Ia juga sebahagian daripada sistem pengurusan grid bijak yang boleh meningkatkan kecekapan tenaga operasi pelabuhan sebanyak 2.5 peratus. Ini selain mengurangkan jejak karbon pelabuhan itu sebanyak bersamaan 1,000 tan karbon dioksida setahun, iaitu ibarat mengurangkan penggunaan sekitar 300 kereta di jalan raya setiap tahun, tambahnya.

Dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini, sistem itu akan menyediakan tenaga untuk digunakan bagi mengendalikan kegiatan serta peralatan pelabuhan, termasuk kren dan mesin penggerak utama, dengan cara yang lebih cekap. 

Projek itu diberikan kepada Envision Digital, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang menyediakan kecerdasan buatan (AI) dan perisian teknologi Intenet. Ia membangunkan sebuah sistem pengurusan grid bijak yang termasuk sistem penyimpanan tenaga bateri dan panel-panel fotovolta suria. 

Platform itu menggunakan pembelajaran mesin untuk menyediakan ramalan automatik mengikut masa nyata mengenai permintaan tenaga terminal berkenaan, menurut agensi-agensi tersebut. 

“Ini membolehkan perancangan aset pelabuhan dalam jangka panjang, penjadualan dan pengurusan tenaga mengikut masa nyata dalam jangka pendek di terminal bagi mengurangkan kos tenaga serta jejak karbon," tambahnya. 

Apabila lonjakan pada penggunaan tenaga diramalkan berlaku, unit penyimpanan tenaga bateri 2 megawat sejam (MWh) itu akan diaktifkan untuk membekalkan tenaga bagi memenuhi permintaan, menurut agensi-agensi tersebut. 

Pada masa-masa lain, unit itu boleh digunakan untuk menyediakan perkhidmatan sampingan kepada grid kuasa Singapura dan menjanakan pendapatan. 

Agensi-agensi itu turut mendedahkan bahawa dapatan daripada projek tersebut juga mungkin "mengesahkan" kemungkinan pengguna komersil dan industri menggunakan sistem penyimpanan tenaga bateri untuk pelbagai tujuan, seperti pengurusan permintaan di tapak serta menyediakan perkhidmatan sampingan komersil bagi menyokong sistem kuasa.

Dapatan daripada projek itu juga akan diguna pakai bagi sistem tenaga di Pelabuhan Tuas, yang bakal menjadi terminal automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia, yang dijangka siap pada 2040-an, menurut kenyataan media itu. 

Bateri yang tidak lagi digunakan bagi peralatan pelabuhan juga boleh digunakan semula dalam sistem penyimpanan tenaga untuk memberikannya tempoh hayat kedua, tambahnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan