Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura beruntung ada pemimpin agama Islam yang faham konteks masyarakat berbilang kaum: PM Lee

Pemerintah perlu mengambil pendekatan yang sekular dan berkecuali dalam masyarakat berbilang agama seperti Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Sep 2022 11:07PM Dikemas Kini : 10 Sep 2022 10:49PM
SINGAPURA: Pemerintah perlu mengambil pendekatan yang sekular dan berkecuali dalam masyarakat berbilang agama seperti Singapura.

Namun begitu, pemerintah juga perlu mengiktiraf dan menghormati pandangan-pandangan dan aspirasi yang berbeza dalam kalangan rakyat Singapura, serta mengimbangi mereka agar dapat mencapai kesepakatan politik.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian semasa menyampaikan ucaptamanya di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada Jumaat (9 Sep).

MEMBINA MASYARAKAT BERBILANG BANGSA DAN AGAMA ADALAH USAHA BERTERUSAN

Dalam ucapannya di hadapan lebih 500 perwakilan dan cendekiawan agama dari dalam dan luar negara, PM Lee menarik perhatian bahawa meskipun Singapura sudah maju, membina sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama akan menjadi satu proses yang berterusan.

“Masa dan keadaan sudah berubah, generasi baru menjalani pengalaman dan mempunyai jangkaan yang berbeza. Dari masa ke masa, kita perlu menangani isu-isu baru dan sensitif,” kata beliau.

Beliau memberikan contoh tentang seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan, yang menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah.

“Islam menganggap tingkah laku homoseksual sebagai haram. Golongan orang beragama Kristian pun berasa begitu. Namun, apa yang sesetengah agama anggap sebagai haram, tidak semestinya ia sepatutnya dianggap sebagai jenayah juga,” jelas PM Lee yang juga mengumumkan pemansuhan seksyen 377A semasa ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan bulan lalu.

“Seperti setiap masyarakat, Singapura juga mempunyai golongan gay dalam kalangan kita. Seperti rakyat Singapura yang lain, golongan gay juga mahu dihormati dan diterima seperti golongan masyarakat lain.

“Lantaran itu, Pemerintah sudah menjelaskan, bahawa kita mahu memansuhkan sekyen 377A, dan tidak menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai jenayah.”

Namun, PM Lee juga menegaskan bahawa Pemerintah tidak ingin pemansuhan itu untuk mendatangkan perubahan ketara dalam norma sosial, sama ada menerusi pernikahan antara sama jenis, mahupun akan menjejas dasar-dasar yang berlandaskan definisi perkahwinan sedia ada- iaitu antara lelaki dengan wanita.

“Golongan Muslim tidak akan terjejas secara langsung oleh pemansuhan seksyen 377A, kerana perkahwinan masyarakat Muslim adalah di bawah undang-undang Islam. Namun begitu, memang tidak dinafikan golongan Muslim tetap bimbang. Lantaran itu, kita meyakinkan mereka bahawa mereka akan sentiasa bebas untuk berdakwah dan mengamalkan apa yang agama Islam ajarkan dari segi seksualiti dan perkahwinan.”

Satu lagi contoh isu sensitif yang dikatakan PM Lee semasa ucapannya adalah mengenai pemakaian tudung dalam penjagaan kesihatan.

Sebelum mengubah undang-undang mengenai pemakaian tudung di dalam sektor tersebut, Pemerintah kata PM Lee, perlu membuat persediaan selama bertahun-tahun.

“Kami menunggu sehingga golongan bukan Muslim menjadi lebih selesa untuk berinteraksi dengan Muslim yang memakai tudung. Kami mengadakan perbincangan bersama pelbagai golongan masyarakat dan para pemimpin agama. Kami memastikan bahawa kedua-dua masyarakat Muslim dan bukan Muslim memahami apa yang kita lakukan serta tujuan kita,” kata PM Lee

“Akhirnya, tahun lalu, kita lakukan perubahan itu dan saya gembira ia semuanya berjalan dengan lancar dan diterima baik oleh masyarakat.”

Pemakaian tudung oleh kakitangan jagaan kesihatan dan pemansuhan seksyen 377A menurut PM Lee adalah antara contoh bagaimana Singapura mendekati isu-isu rumit demi memelihara keyakinan dan persefahaman antara golongan masyarakat yang berbeza.

MASYARAKAT MAJORITI & MINORITI PERLU MAIN PERANAN

Dalam ucapannya, PM Lee juga berkata bahawa Pemerintah memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju dalam masyarakat Singapura.

Ini di samping peranan yang dimainkan masyarakat minoriti dan majoriti di negara ini.

"Masyarakat minoriti, termasuk Muslim, juga menyumbang dan memainkan peranan dalam memelihara keharmonian kaum dan agama serta perpaduan sosial," kata PM Lee.

Beliau juga meminta masyarakat majoriti untuk juga mainkan peranan dengan menolak politik majoriti dan mempunyai sikap yang berkompromi dan bertolak-ansur.

Ini bermakna sentiasa faham dan menghormati keperluan masyarakat minoriti, menyedari bahawa dalam mana-mana masyarakat adalah lebih sukar untuk menjadi golongan minoriti daripada majoriti.

PM Lee berpendapat bahawa golongan Cina yang membentuk golongan majoriti di Singapura memahami perkara itu.

“Mungkin, ia adalah lebih mudah kerana walaupun masyarakat Cina Singapura adalah kaum majoriti, mereka juga mempunyai kepercayaan agama yang berbeza. Tiada agama di Singapura yang membentuk kumpulan majoriti di sini,” ujar PM Lee.

Dalam pada itu, PM Lee menambah bahawa golongan minoriti di Singapura, termasuk masyarakat Muslim, menyumbang kepada keharmonian kaum dan agama.

“Mereka mendekati isu-isu dengan pemahaman dan kesepakatan. Mereka memahami bahawa berlandaskan konteks berbilang kaum, ada perkara yang perlu dilakukan dengan cara berbeza berbanding di tempat-tempat lain,” kata PM Lee.

Dalam hal tersebut, PM Lee berkata bahawa Singapura sangat bernasib baik kerana mempunyai para pemimpin Muslim yang memahami perkara itu.

Beliau menambah bahawa ia adalah penting untuk masyarakat minoriti mengekalkan kepercayaan dan keyakinan golongan masyarakat lain, dan pada masa yang sama menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial negara.

“Ini termasuk melenyapkan ketakutan dan keraguan terhadap penyebaran ideologi ekstremis dan ancaman pengganasan. Di Singapura, para pemimpin Muslim kita bekerja rapat dengan Pemerintah dan rakan-rakan masyarakat untuk membimbing masyarakat ke arah yang betul,” kata PM Lee.

Kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum, menurut PM Lee, bukan selalunya baik-baik sahaja.

Adakalanya ada individu atau kumpulan yang melampaui batas dan melukakan perasaan golongan lain atau cuba menggunakan agama dan kaum untuk mencetuskan masalah atau meraih sokongan.

Pemerintah sebelum ini kata PM Lee, perlu mengambil pendirian yang tegas dan mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memecahbelahkan masyarakat.

“Pemerintah pernah melakukan sedemikian meskipun ada risiko kehilangan sokongan dan undi rakyat,” tambah beliau.

Namun, PM Lee berkata bahawa perkara tersebut adalah penting untuk memastikan bahawa Singapura terus berpegang pada nilai berbilang kaum dan melindungi keseimbangan yang rapuh dalam masyarakat.

“Dengan cara ini, kita akan dapat terus membangunkan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama di mana setiap rakyat Singapura, tidak kira kaum, bahasa atau agama, adalah seseorang individu yang dihargai dan dihormati dalam masyarakat,” kata beliau.

PM Lee menambah bahawa masyarakat Muslim Singapura, seperti masyarakat lain di negara ini boleh mencipta identiti Singapura yang tersendiri, lain daripada masyarakat Muslim yang lain di serata dunia.
Sumber : Agensi berita/HK/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan