Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bersedia lakukan lebih banyak lagi pada dasar kewangan negara jika konflik Ukraine memburuk

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Mar 2022 08:35PM Dikemas Kini : 22 Mar 2022 10:10PM

SINGAPURA: Pemerintah "tidak akan teragak-agak untuk melakukan lebih banyak lagi", sama ada melalui dasar fiskal atau kewangan, jika konflik di Ukraine bertambah buruk dan memberi kesan kepada ekonomi dan inflasi Singapura, menurut Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (22 Mac).

Buat masa ini, masih "terlalu awal" untuk meramal bagaimana keadaan akan berubah, dengan ekonomi Singapura dijangka akan terus berkembang pada tahun ini, kata Encik Wong di pleno jamuan tengah hari yang diadakan pada hari pertama Sidang Puncak Perniagaan Apex Singapura 2022.

Ramalan rasmi mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang antara 3 hingga 5 peratus pada 2022.
"Jika keadaan terus memburuk di Ukraine dan kami melihat kesan yang besar pada ekonomi atau inflasi negara, kami pasti tidak akan teragak-agak untuk melakukan lebih banyak lagi, sama ada melalui dasar fiskal atau kewangan, untuk memastikan kita berupaya memantapkan ekonomi atau menstabilkan harga.”

Encik Wong juga menarik perhatian bahawa langkah-langkah sokongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 semasa ia dibentangkan pada bulan lalu belum lagi menunjukkan kesan yang diharapkan.


"Dalam masa beberapa bulan akan datang, keluarga, pekerja dan firma-firma akan mengalami kesan daripada langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2022. Kita harus membiarkan langkah-langkah itu dilaksanakan dan kita kemudian akan memantau dengan teliti bagaimana keadaan di Ukraine akan menjejas ekonomi kita dalam masa beberapa bulan akan datang, termasuk kesannya terhadap inflasi."

Sesi itu dikendalikan oleh Ketua Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) Lam Yi Young, yang turut bertanya sama ada langkah-langkah dasar seperti menaikkan cukai karbon dan mengetatkan dasar tenaga kerja asing boleh ditangguhkan supaya ia tidak menambah tekanan kos yang dihadapi oleh syarikat-syarikat perniagaan di sini.

Menjawabnya, Encik Wong berkata bahawa pemerintah "sedia maklum" tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat perniagaan tempatan. Itulah sebabnya mengapa perubahan-perubahan dasar akan dilaksanakan secara berperingkat dan diumumkan lebih awal.

Beliau juga menarik perhatian bahawa kekangan yang dihadapi oleh Singapura, khususnya berhubung tenaga buruh dan karbon bukan bersifat sementara.

Menurut Encik Wong, banyak skim dan inisiatif sudah dilakarkan untuk membantu syarikat-syarikat perniagaan melalui transformasi, namun kadar pelaksanaannya "sentiasa lebih rendah" daripada yang diunjurkan.

Di akhir sesi itu, Encik Wong berkata beliau memahami bahawa perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, bimbang mengenai "isu-isu segera yang lebih mendesak" seperti tenaga manusia dan kekurangan pekerja.

Ini sebahagiannya disebabkan oleh langkah-langkah kawalan sempadan Singapura yang belum dibuka sepenuhnya untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan