Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura berkecuali dalam undian gantung Rusia dari badan hak asasi manusia PBB

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura berkecuali dalam undian gantung Rusia dari badan hak asasi manusia PBB

Timbalan wakil tetap Singapura ke PBB, Tang Jo-Phie. (Gambar: United Nations)

SINGAPURA: Singapura menggesa semua pihak agar bekerjasama dengan suruhanjaya siasatan bebas mengenai dakwaan berlaku pencabulan hak asasi di Ukraine, sambil menekankan pentingnya suruhanjaya tersebut diberi akses sepenuhnya untuk menjalankan tugas.

Ini menyusuli langkah Singapura untuk tidak mengundi bagi menggantung Rusia dari Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (7 April).

Perhimpunan Agung PBB menggantung Rusia dari Majlis Hak Asasi Manusia berikutan laporan tentang "pencabulan dan pelanggaran amat buruk hak asasi manusia secara sistematik" di Ukraine, mendorong Moscow untuk mengumumkan ia menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Usul berkenaan yang diterajui Amerika Syarikat (AS) disokong negara, manakala 24 negara membantah. 58 negara yang lain berkecuali termasuk Singapura.

Beberapa negara jiran turut mengambil sikap berkecuali iaitu Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Majoriti dua pertiga negara anggota yang mengundi daripada 193 anggota dalam Perhimpunan Agung di New York diperlukan untuk menggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva yang dianggotai 47 negara.

Timbalan wakil tetap Singapura ke PBB Cik Tang Jo-Phie, berkata Singapura mengutuk keras pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan serangan berterusan di bandar-bandar Ukraine, terhadap orang awam dan prasarana awam.

"Kami menekankan lagi sokongan penuh terhadap kedaulatan, kemerdekaan politik dan integriti wilayah Ukraine," katanya.

Beliau menambah bahawa kedudukan Singapura amat jelas dan konsisten sejak bermulanya konflik tersebut.

Ini sebabnya ia "menaja bersama dan mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung PBB ES-11/1 mengenai Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan Ketetapan ES-11/2 mengenai Kesan Kemanusiaan akibat Pencerobohan ke atas Ukraine", katanya.

Singapura juga menaja bersama Ketetapan Majlis Hak Asasi Manusia 49/1 tentang Keadaan Hak Asasi Manusia di Ukraine terbit daripada Serangan Rusia, tambahnya.

"Singapura sangat prihatin dan bimbang dengan laporan dan imej terkini dari Bucha dan bandar-bandar Ukraine yang lain tentang kesan besar korban awam dan kemusnahan prasarana awam," kata Cik Tang dalam ucapannya.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Dalam hal ini, kami menggesa pelaksanaan penuh dan segera ES-11/1, ES-11/2 dan Ketetapan HRC 49/1."

Tambahnya, Singapura maklum tentang penubuhan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa bebas untuk menyiasat semua dakwaan mengenai pencabulan hak asasi di Ukraine, sambil menambah bahawa Singapura menantikan hasil kerja suruhanjaya dan penemuannya.

“Kita harus berusaha untuk melindungi penduduk awam di Ukraine, dan memastikan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan kepada semua yang memerlukan,” kata Cik Tang.

“Kami terus menyeru Persekutuan Rusia untuk menghentikan operasi ketenteraan serta-merta, terus mengadakan rundingan bermakna dengan Ukraine, dan berusaha ke arah penyelesaian aman mengikut Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.”

Singapura sebelum ini mengumumkan langkah-langkah kewangan yang disasarkan kepada bank Rusia, entiti dan aktiviti di Rusia, serta kegiatan mengumpul dana yang memanfaatkan pemerintah Rusia.

Menggulung lawatannya ke AS minggu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura mengambil pendirian yang tegas terhadap pencerobohan Rusia kerana ia memilih untuk menegakkan prinsip utama yang sepadan dengan kepentingan negara jangka panjang – iaitu, kedaulatan dan integriti wilayah semua negara.

“Kami memilih prinsip dan menjunjung prinsip yang sepadan dengan kepentingan jangka panjang negara kami dan kami menjunjungnya secara konsisten,” kata PM Lee.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan