Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bentang saranan bagi lindungi pengguna media sosial; pelawa maklum balas awam

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura bentang saranan bagi lindungi pengguna media sosial; pelawa maklum balas awam

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

SINGAPURA: Satu perundingan awam dilancarkan pada Rabu (13 Jul) untuk mendapatkan pandangan mengenai langkah-langkah yang disarankan oleh pemerintah untuk mempertingkatkan tahap keselamatan online bagi para pengguna media sosial, termasuk golongan anak muda.

Dua set saranan diumumkan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada Jun lalu.
Pertama, Kod Amalan untuk Keselamatan Online yang memerlukan khidmat-khidmat media sosial dengan jumlah pengguna yang ramai dilengkapi dengan proses-proses yang berupaya mengurangkan pendedahan kepada kandungan online yang berbahaya bagi pengguna di Singapura, termasuk mereka yang berusia bawah 18 tahun.
Kedua, Kod Kandungan untuk Perkhidmatan Media Sosial yang akan membolehkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk
mengarahkan mana-mana khidmat media sosial untuk menyekat akses tempatan kepada kandungan yang dianggap berbahaya kepada masyarakat Singapura seperti bahan-bahan online yang menghasut ketidakharmonian kaum atau agama.

"Kami sedia maklum bahawa sesetengah khidmat media sosial sudah melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi para pengguna. Namun, langkah-langkah sedemikian berbeza dari satu khidmat ke satu khidmat yang lain," menurut MCI dalam kertas perundingan awam itu.

PERLINDUNGAN BAGI ANAK MUDA

Di bawah Kod Amalan untuk Keselamatan Online, pihak berkuasa sedang menimbangkan untuk mensyaratkan khidmat-khidmat sosial menetapkan piawaian masyarakat bagi enam kategori kandungan.

Ia termasuk kandungan seksual, keganasan, mencederakan diri sendiri, pembulian siber, kandungan yang membahayakan kesihatan awam dan kandungan yang boleh memudahkan maksiat dan jenayah terancang.

Bagi pengguna muda, MCI menyarankan perlindungan tambahan seperti piawai masyarakat yang lebih tegas dan peralatan yang membenarkan golongan muda atau ibu bapa mereka untuk menguruskan pendedahan mereka kepada kandungan berbahaya.

Menurut MCI, peralatan-peralatan tersebut boleh termasuk yang menghadkan keterlihatan akaun pengguna muda kepada orang lain.

"PENDEKATAN KOLABORATIF"

MCI turut mendedahkan bahawa ia mengambil berbentuk kolaboratif untuk mengukuhkan keselamatan online serta bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam sektor privet dan juga awam.

Selain rundingan bersama dengan firma-firma teknologi, MCI juga akan melibatkan dan mendampingi kumpulan-kumpulan yang menjadi pihak-pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, remaja, rakan masyarakat dan para ahli akademik.

Perundingan awam itu akan dijalankan dari Rabu (13 Jul) sehingga 10 Ogos.

Orang ramai dipelawa untuk mengemukakan maklum balas mereka melalui borang tinjauan di laman web REACH sebelum pukul 6.00 petang pada 10 Ogos.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan