Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura benarkan bendera negara dipapar lebih kerap; denda lebih berat jika salah guna

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura benarkan bendera negara dipapar lebih kerap; denda lebih berat jika salah guna

Bendera Singapura di flat HDB. (Gambar: Facebook/Edwin Tong)

SINGAPURA: Bendera Singapura boleh dipaparkan dengan lebih kerap, termasuk di luar tempoh sambutan Hari Kebangsaan, selepas satu Rang Undang-Undang diluluskan di Parlimen hari ini (13 Sep).

Langkah itu diambil setelah menerima maklum balas daripada masyarakat umum supaya memberikan lebih banyak kelonggaran untuk menggunakan lambang-lambang negara semasa pelbagai sesi perundingan awam dijalankan sepanjang dua tahun lalu.

Rang Undang-Undang Lambang Negara itu menggantikan Akta Jata dan Bendera dan Lagu Kebangsaan Singapura (SAFNA), yang digubal pada 1959 untuk mentadbir penggunaan jata, bendera negara serta lagu kebangsaan.

Berucap di Parlimen, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Low Yen Ling berkata rakyat Singapura semakin mahu menggunakan bendera dan lambang lain negara untuk memperlihatkan kebanggaan dan perpaduan mereka dengan cara-cara yang tidak dijangkakan oleh undang-undang tersebut.

Di bawah Rang Undang-Undang baru itu, Presiden boleh membuat peraturan berhubung penggunaan lambang negara manakala seorang individu yang ditetapkan seperti Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia boleh memberi izin atau melarang penggunaan lambang-lambang negara berdasarkan situasi yang sesuai.

Ini akan memberi lebih banyak kelonggaran, kata Cik Low.

DENDA LEBIH BERAT

Rang Undang-Undang itu juga menaikkan denda maksimum bagi kesalahan menyalahgunakan lambang negara kepada hukuman penjara selama enam bulan, denda S$30,000 atau kedua-duanya sekali, berbanding denda maksimum S$1,000 sekarang.

Cik Low berkata denda baru itu mengambil kira inflasi serta denda maksimum yang ditetapkan bagi kesalahan-kesalahan serupa, sambil menambah ia tidak dikemas kini sejak 1959.

Beliau menambah bahawa kesalahan lebih serius seperti membakar atau mencemarkan bendera negara akan membawa hukuman lebih berat.

Pada Ogos, seorang lelaki berusia 39 tahun diberkas kerana membakar hiasan Hari Kebangsaan. Tahun lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa kerana memotong dan merosakkan beberapa sepanduk Perbarisan Hari Kebangsaan.

AP Louis Ng (PAP-Nee Soon) menyarankan agar denda dinaikkan bagi mereka yang menyalahgunakan Lambang Negara untuk mengelirukan orang lain.

Beliau memetik contoh penipu pelaburan yang menggunakan logo syarikat pelaburan negara GIC untuk memperdayakan rakyat Singapura untuk memindahkan wang kepada mereka.

"Lambang negara kita bukan sekadar sumber identiti. Ia juga membawa jenama Singapura, menjadi lambang kepercayaan dan keyakinan kita," kata beliau.

AP Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) berkata apa yang dianggap penyalahgunaan lambang negara harus disampaikan dengan jelas dan menggesa para pegawai penguatkuasaan supaya lebih memahami "kesilapan yang tidak disengajakan".

Menjawab pertanyaan para AP, Cik Low berkata kementeriannya merancang untuk menyediakan perintah berhenti kerja di bawah Rang Undang-Undang yang boleh digunakan terhadap penggunaan yang tidak menghormati lambang negara, dengan kegagalan mematuhinya membawa kepada kesalahan di sisi undang-undang.

Beliau menambah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Lembaga Warisan Negara (NHB) tidak akan mengenakan denda tersebut sebagai tindakan pertama, dan pendekatan mereka adalah untuk mendidik dan memaklumkan kepada masyarakat umum.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan