S'pura bekukan jualan tiket VTL darat & udara antara 23 Dis-20 Jan susuli penularan Omicron
Pemegang tiket VTL sedia ada masih boleh lakukan perjalanan masing-masing.
SINGAPURA: Semua penjualan tiket baru bagi penerbangan dan perjalanan bas di bawah Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) akan dibekukan dari 23 Dis ini hingga 20 Jan tahun depan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (22 Dis).
Langkah itu bermatlamat untuk menghadkan pendedahan Singapura kepada kes import Omicron, menurut kementerian tersebut.
Semua penumpang yang sudah mendapatkan tiket bagi penerbangan atau perjalanan bas VTL dan memenuhi semua syarat lain VTL boleh meneruskan perjalanan di bawah skim perjalanan bebas kuarantin itu.
MOH akan mengurangkan kuota VTL buat sementara waktu dan juga penjualan tiket bagi perjalanan selepas 20 Jan 2022. MOH akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan mengemas kini dasar tersebut seiring dengan keadaan semasa.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan memberikan butiran lanjut mengenai VTL Udara dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) bagi VTL Darat.
Dalam kenyataan medianya pada Rabu, MTI menyatakan ia akan mengurangkan kapasiti dan penjualan tiket buat sementara waktu bagi perjalanan ke Singapura atau Malaysia melalui VTL Darat bermula dari 21 Jan 2022 sebanyak separuh - setara dengan 24 perjalanan bas sehala setiap hari.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa ia akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan kapasiti VTL Darat, dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di kedua-dua negara dan di seluruh dunia.
Tiada tiket bas VTL Darat akan dijual bagi perjalanan ke Singapura atau Malaysia mulai 11.59 malam pada 22 Dis 2021 sehingga 11.59 malam pada 20 Jan 2022.
"Kami sedang mengesan lebih banyak kes Omicron disebabkan oleh penularan pantas varian itu yang sudah merebak ke banyak negara/rantau. Setakat ini, rejim ujian kami yang sudah dipertingkatkan untuk para pelawat sudah membantu kami mengesan dan mengesahkan 65 kes Omicron," jelas MOH.
"Dengan pengesanan kontak yang agresif dan langkah-langkah kawalan buat masa ini, kami berjaya menghadkan penularan lanjut dalam masyarakat. Namun ia setakat menunggu masa sebelum varian Omicron menular dalam masyarakat kita."
Langkah-langkah kawalan sempadan akan memberikan masa kepada Singapura untuk mengkaji dan memahami varian Omicron dan untuk mengukuhkan benteng pertahanan negara ini, termasuk mempertingkatkan kapasiti jagaan kesihatan dan memastikan lebih ramai penduduk divaksin dan menerima dos penggalak, tambah kementerian itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.