Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, AS bakal adakan dialog untuk perkukuh kerjasama tingkat keselamatan siber

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, AS bakal adakan dialog untuk perkukuh kerjasama tingkat keselamatan siber

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden AS Joe Biden pada sidang media bersama pada 30 Mac 2022. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

WASHINGTON: Singapura dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan dialog tahunan sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kerjasama dalam keselamatan siber.

Dialog Siber AS- Singapura itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (29 Mac) menyusuli pertemuan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dengan Presiden Joe Biden di Rumah Putih.

Ia akan melibatkan pegawai kanan pemerintah dari unit operasi, teknikal dan dasar siber pelbagai agensi untuk berkumpul "bagi membincangkan dan memajukan kerjasama dua hala sedia ada".

Dialog itu akan diadakan secara tahunan, atau seperti yang ditentukan AS dan Singapura. Pengerusi bersama dialog dan tahap perwakilan dari kedua-dua negara akan diputuskan kemudian.

Menurut kenyataan bersama itu lagi, kedua-dua negara mempunyai "kerjasama yang kukuh dan berkembang maju" mengenai keselamatan siber.

Kedua-dua pemimpin berjanji untuk memperdalam kerjasama dalam memerangi ancaman siber, menggalakkan daya tahan dan mengukuhkan prasarana penting. Mereka juga akan mengetuai usaha dalam Inisiatif Membanteras Ransomware Antarabangsa (CRI) untuk menangani lonjakan dalam serangan peras ugut digital di seluruh dunia.

Penganjuran dialog siber itu diumumkan menyusuli pemeteraian tiga memorandum persefahaman mengenai keselamatan siber semasa lawatan rasmi Naib Presiden AS Kamala Harris ke Singapura pada Ogos tahun lalu.

Dalam kenyataan bersama mereka itu juga, Encik Lee dan Encik Biden berkata mereka komited untuk memperkukuh keselamatan kesihatan global dan persiapan menghadapi pandemik masa depan serta "kejutan lain terhadap sistem kesihatan".

Mereka mengegsa negara sekutu dan rakan kongsi untuk mengukuhkan dan membiayai kesediaan vaksin serta mempercepatkan usaha untuk mengawal COVID-19 di peringkat global.

Terdapat juga rancangan untuk mengembangkan kerjasama ekonomi di bawah Perkongsian AS-Singapura bagi Pertumbuhan dan Inovasi, menurut kenyataan itu.

Inisiatif baru di bawah perkongsian itu termasuk pembangunan rangka kerja tadbir urus kecerdasan buatan beretika serta rancangan bagi satu misi perniagaan AS ke Singapura untuk memudahkan peluang perniagaan dan mengukuhkan perkongsian dalam pengilangan maju.

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penganjuran Dialog Angkasa AS-Singapura serta pembaharuan dan pengembangan perjanjian untuk memperdalam kerjasama dalam pembangunan infrastruktur bagi meliputi projek hijau.

“Cabaran hari ini, semuanya menuntut kerjasama yang lebih erat antara kita,” kata mereka dalam kenyataan itu. “Selama beberapa dekad, Amerika Syarikat dan Singapura telah bekerjasama untuk mengatasi cabaran semasa, dan kami akan bertekad untuk terus melakukannya.

"Bersama-sama, kita memperdalam perkongsian strategik untuk merebut peluang dan menangani ancaman yang muncul."

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan