Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura, Australia sahkan semula hubungan pertahanan yang erat & panjang

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura, Australia sahkan semula hubungan pertahanan yang erat & panjang

Gambar: Facebook/Lee Hsien Loong/MCI

SINGAPURA: Australia dan Singapura pada Ahad (12 Jun) mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang "erat dan terjalin sekian lama" antara dua negara itu.

Kedua-dua negara tersebut juga membincangkan untuk memperkukuh kerjasama di bawah Perkongsian Strategik Menyeluruh, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan media.  

Perbincangan itu dilakukan semasa lawatan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles ke Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La ke-19. 

Ia merupakan sidang puncak keselamatan peringkat tinggi yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Pengajian Strategik (IISS), yang bermula pada Jumaat (10 Jun) dan berakhir pada Ahad (12 Jun).

Encik Marles yang juga Timbalan Perdana Menteri Australia, bertemu dengan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Jumaat (10 Jun) di Istana. 

Beliau juga bertemu dengan Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen pada Ahad (12 Jun). 

" SAF (Angkatan Bersenjata Singapura) dan Angkatan Tentera Australia berkongsi sejarah panjang kerjasama ketenteraan. Kami amat berterima kasih atas sokongan Australia kepada latihan SAF di Australia," tulis PM Lee dalam catatan Facebook beliau pada Ahad (12 Jun). 

Pada Ahad, Encik Marles dan Dr Ng menzahirkan penekanan berterusan kepada pembangunan bersama kawasan latihan dan kemudahan latihan yang lebih canggih di Queensland, Australia.

Selain daripada kerjasama ketenteraan, Encik Marles dan Dr Ng juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. 

Kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk bekerjasama di bawah Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Plus dan Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDF) untuk menangani cabaran-cabaran itu.

Encik Marles berada di Singapura bersama delegasi pegawai kanan Australia, termasuk Ketua Angkatan Tentera Australia, Jeneral Angus Campbell dan Setiausaha Jabatan Pertahanan, Greg Moriarty.

Dalam catatan Facebook, PM Lee menyatakan bahawa beliau menantikan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri baru Australia, Anthony Albanese  dan mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara. 

Encik Albanese mengetuai Parti Buruh dan meraih kemenangan dalam pilihan raya pada Mei lalu, sekali gus menamatkan hampir sedekad pemerintahan konservatif di Australia.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan