Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura ambil pendekatan 'libatkan seluruh masyarakat' untuk banteras salah maklumat, kata Menteri Negara MCI

Untuk membanteras salah maklumat, Singapura mengambil "pendekatan melibatkan seluruh lapisan masyarakat", termasuk mempunyai "teras kukuh" syarikat-syarikat media tempatan yang dipercayai penonton, pendengar serta pembacanya. Demikian menurut Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan Tan Kiat How pada Jumaat (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura ambil pendekatan 'libatkan seluruh masyarakat' untuk banteras salah maklumat, kata Menteri Negara MCI

Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan Tan Kiat How berucap di majlis penyampaian hadiah Cabaran Media Berwibawa. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 30 Apr 2022 08:42AM Dikemas Kini : 30 Apr 2022 08:43AM

SINGAPURA: Untuk membanteras salah maklumat, Singapura mengambil "pendekatan melibatkan seluruh lapisan masyarakat", termasuk mempunyai "teras kukuh" syarikat-syarikat media tempatan yang dipercayai penonton, pendengar serta pembacanya. Demikian menurut Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan Tan Kiat How pada Jumaat (29 Apr).

Berucap di majlis penyampaian hadiah bagi Cabaran Media Dipercayai - satu pertandingan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membanteras media palsu - Encik Tan berkata selain daripada teknologi, "langkah-langkah lebih meluas melibatkan seluruh masyarakat" juga mesti dilaksanakan dalam usaha memerangi salah maklumat.

Beliau menggariskan empat aspek pendekatan tersebut. Antaranya, peranan syarikat-syarikat media setempat.

Ia "mesti memainkan peranan penting sebagai penyampai yang dipercayai dalam pasaran idea sejagat untuk memaklumkan dan melibatkan penyertaaan warganegara kita", katanya.

"Mereka membentangkan sumber maklumat diyakini untuk rakyat kita dalam sebuah ruang online di mana kadangkala tidak jelas sama ada maklumat itu benar atau palsu."

"INFODEMIK COVID-19"

Beliau juga merujuk kepada undang-undang sebagai sebahagian daripada pendekatan itu, khususnya Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), yang disifatkan beliau sebagai "amat penting dalam usaha Singapura memerangi infodemik COVID-19".

Setakat 31 Mac, hampir 60 peratus kes POFMA adalah yang berkaitan dengan COVID-19, kata Encik Tan.

PUPUK "MASYARAKAT BERPENGETAHUAN"

Aspek ketiga pendekatan melibatkan seluruh masyarakat dalam membanteras salah maklumat adalah untuk memupuk sebuah "masyarakat berpengetahuan", kata Encik Tan.

"Sebuah masyarakat yang berpengetahuan yang sedar tentang ancaman salah maklumat dan boleh menilai dengan kritikal kebolehpercayaan maklumat yang diterima akan menjadikannya lebih sukar bagi salah maklumat untuk berakar umbi," kata Encik Tan.

Beliau menukil Program S.U.R.E (Cari, Faham, Kaji, Nilai) (Source, Understand, Research, Evaluate) Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) sebagai contoh bagaimana pendidikan awam boleh membantu orang ramai menjadi penerbit serta pengguna maklumat yang bertanggungjawab.

Beliau menambah Pemerintah juga menerbitkan maklumat yang tepat dan betul untuk mengurangkan ruang bagi sebarang salah maklumat, dalam Bahasa Inggeris dan pelbagai bahasa lain di pelbagai wadah. Ini termasuk di akaun WhatsApp rasmi gov.sg, yang disediakan dalam empat bahasa serta mempunyai lebih 1.2 juta pengguna.

"Bagaimanapun, Pemerintah tidak boleh melakukan ini sendirian. Kami mengalu-alukan pelibatan sektor-sektor privet dan masyarakat."

Akhir sekali menurut Encik Tan, membina sebuah ekosistem pemeriksaan fakta yang kukuh juga penting untuk memerangi salah maklumat.

Encik Tan berkata beliau berbesar hati melihat beberapa syarikat teknologi memainkan peranan dengan bekerjasama dengan pemeriksa fakta bebas untuk menyemak kandungan di wadah online masing-masing.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan