S'pura alukan kerjasama dua hala lebih erat dengan Jepun pasca COVID
Gambar: Ministry of Communications and Information
SINGAPURA: Singapura menantikan kerjasama dua hala yang lebih erat dengan Jepun dalam era pasca COVID yang baru muncul, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Sabtu (11 Jun).
Persahabatan antara Singapura dengan Jepun sudah mekar sepanjang 55 tahun yang lalu tetapi masih lagi ada ruang untuk kedua-dua negara melakukan "lebih banyak lagi", kata PM Lee.
Beliau menambah kedua-dua negara itu harus terus berganding bahu untuk memperdalam kerjasama ekonomi selain memupuk integrasi dan kestabilan serantau.
PM Lee berkata demikian semasa memberikan ucapan di jamuan tengah hari rasmi yang dianjurkan beliau untuk Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, yang menyampaikan ucaptama semasa Dialog Shangri-la pada Jumaat (10 June).
"Singapura dan Jepun adalah rakan kongsi sejak sekian lama, dengan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang. Kami berkongsi kepentingan sama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau serta menegakkan prasarana serantau yang terbuka lagi inklusif," kata PM Lee.
Beliau menarik perhatian kedua-dua negara itu sudah bekerjasama dalam banyak inisiatif pelbagai hala, termasuk Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik baru-baru ini.
Walaupun berhadapan pandemik COVID-19, hubungan antara Singapura dengan Jepun tetap terus berkembang, kata PM Lee, sambil merujuk kepada pemeteraian beberapa perjanjian tahun ini dalam bidang-bidang meliputi pertahanan, pendigitalan, kemampanan dan ekonomi.
PM Lee juga menarik perhatian kerjasama yang kukuh merentasi bidang kuasa politik dan ekonomi, serta dalam bidang-bidang bukan tradisional seperti keselamatan siber, isu persekitaran dan penyelidikan bioperubatan.
Beliau menambah menyambung semula perjalanan antara kedua-dua negara tersebut dan memulihkan hubungan antara rakyat juga menjadi keutamaan.
Pada Jumaat, Jepun mula membenarkan kemasukan pelancong asing dari negara-negara tertentu, termasuk Singapura, untuk membuat lawatan dalam kumpulan yang kecil.
BERTINDAK BALAS TERHADAP CABARAN SECARA BERSAMA
Encik Kishida berkata Jepun dan Singapura akan bekerjasama dalam membina sebuah rantaian bekalan yang berdaya bingkas di rantau ini untuk keselamatan ekonomi.
Kedua-dua negara itu juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pakar dua hala dalam bidang digital tidak lama lagi, menurut penterjemahan ucapan yang disampaikan beliau dalam bahasa Jepun.
"Pangkalan kerjasama dua hala itu akan diperluaskan dengan Singapura, yang menerajui program-program lanjutan dalam pelbagai bidang," katanya.
"Kami mengesahkan untuk bekerjasama dalam tindak balas terhadap kesan pada ekonomi dunia, termasuk bidang-bidang makanan dan tenaga serta bekerjasama dalam melaksanakan sekatan ke atas Rusia secara berkesan."
Kedua-dua negara itu juga bersetuju untuk memperdalam kerjasama bagi menangani pelbagai cabaran seperti bertindak balas terhadap masalah nuklear dan peluru berpandu Korea Utara selain isu perdagangan bebas, tambah beliau.
Encik Kishida juga mengukuhkan semula visinya bagi sebuah rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, di mana menurut beliau, kerjasama serantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) adalah "sangat penting".
Menyifatkan ucapan Encik Kishida sebagai "berwawasan", PM Lee berkata Singapura mengalu-alukan usaha Jepun dan negara-negara lain untuk mengukuhkan pelibatan dengan ASEAN dalam bidang-bidang yang digariskan dalam Perspektik ASEAN mengenai Indo-Pasifik.
BINCANGKAN KESELAMATAN
PM Lee mengulangi semula bahawa Singapura menantikan Jepun memainkan peranan yang lebih besar di rantau ini, untuk menyumbang bukan sahaja kepada daya tenaga ekonomi Asia Pasifik tetapi juga kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Berhubung perkembangan antarabangsa dan serantau yang lain, kedudukan Singapura mengenai pencerobohan Rusia di Ukraine adalah jelas dan berprinsip, kata PM Lee.
Beliau menekankan Singapura adalah penyokong tegar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengenai situasi di Laut China Timur dan Laut China Selatan, Singapura berharap kesemua pihak akan berusaha untuk mengawal diri dan terus mengadakan dialog demi memelihara keamanan serta kestabilan serantau, tambah PM Lee.
Encik Kishida juga bertemu dengan Presiden Halimah Yacob di mana mereka mengukuhkan lagi hubungan yang luas dan substantif antara Singapura dengan Jepun, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan.
Puan Halimah dan Encik Kishida menarik perhatian meskipun menghadapi pandemik COVID-19, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara itu kekal teguh, malahan turut berkembang.
Mereka juga membincangkan bidang-bidang kerjasama lain seperti pendigitalan dan memulihkan perjalanan rentas sempadan.
Nama Perdana Menteri Jepun itu turut diabadikan pada sejenis orkid kacukan yang baru, bernama Dendrobium Kishida Fumio.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.