Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura alu-alukan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik dengan AS: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

WASHINGTON: Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang diusulkan Amerika Syarikat (AS) perlu bersikap "inklusif" dan menawarkan "manfaat yang nyata" untuk mengalakkan penyertaan lebih meluas, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (12 Mei). 

Singapura mengalu-alukan rangka kerja yang disyorkan, ujar PM Lee semasa berucap di pertemuan dengan Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan AS. 

IPEF bertujuan untuk menetapkan piawai bagi kerjasama serantau dan termasuk negara-negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Strategi ekonomi baru AS untuk Indo-Pasifik itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi apabila Presiden AS Joe Biden membuat lawatan ke Jepun lewat bulan ini. 

Presiden Biden sebelum ini mengumumkan di satu sidang puncak maya bersama ASEAN pada Oktober 2021 bahawa Washington akan memulakan perbincangan tentang penubuhan IPEF. 

"Ia perlu bersikap inklusif dan menawarkan manfaat-manfaat yang nyata untuk mengalakkan penyertaan lebih meluas dan harus meliputi kerjasama dalam bidang-bidang seperti ekonomi digital dan mesra alam serta prasarana kerana isu-isu ini sangat dekat di hati rantauan ini," kata Encik Lee semasa pertemuan pada Khamis (12 Mei). 

"Kami mengalakkan penyertaan ASEAN dalam IPEF dan berharap AS akan mengundang dan melibatkan negara-negara anggota ASEAN untuk inisiatif ini." 

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja PM Lee ke Washington DC mulai 10 Mei sehingga 14 May untuk menghadiri Sidang Puncak Khas ASEAN-AS atas undangan Presiden Biden. 

Sidang Puncak itu pada awalnya dijadualkan pada Mac. Ia merupakan Sidang Puncak Khas kedua antara Presiden AS dengan pemimpin ASEAN sejak 2016. 

Selain PM Lee, lapan pemimpin  serta perwakilan dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Kemboja,  Thailand, Laos, Vietnam dan Filipina turut serta dalam sidang puncak tersebut. 

Pemimpin Myanmar tidak diundang, sejajar dengan kedudukan ASEAN sebelum ini manakala Filipina diwakili oleh setiausaha hal ehwal luar susuli pilihan raya presiden yang diadakan baru-baru ini. 

Presiden Biden berjanji untuk melabur AS$150 juta (S$209 juta) untuk pembangunan prasarana, keselamatan, persiapan pandemik ASEAN dan usaha-usaha lain. 

Ini termasuk pelaburan AS$40 juta (S$56 juta) bagi prasarana yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon bekalan kuasa ASEAN, AS$60 juta (S$84 juta) bagi keselamatan maritim dan AS$15 juta (S$21 juta) bagi dana kesihatan untuk membantu usaha pengesanan awal COVID-19 dan pandemik-pandemik pernafasan yang lain. 

Presiden Biden menyambut pemimpin dari Singapura, Brunei, Indonesia, Kemboja, Thailand, Laos, Vietnam, Malaysia dan Filipina bagi jamuan makan malam di Rumah Putih pada Khamis malam (12 Mei), sebelum pertemuan mereka pada Jumaat (13 Mei) di mana mereka dijangka berkongsi pandangan tentang isu-isu serantau dan global. 

Perdagangan digital, kemudahan perdagangan dan daya tahan rantaian bekalan, serta membangunkan kapasiti "wajar" disertakan dalam saranan AS untuk IPEF, kata Encik Lee. 

Perdagangan digital boleh memanfaatkan potensi digital ASEAN yang semakin berkembang dengan memudahkan pertukaran data rentas sempadan dan menyokong  pekerja serta syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam ekonomi digital, kata PM Lee. 

Ini juga akan memanfaatkan usaha ASEAN bagi piawai perdagangan digital dan penggunaan  bayaran digital, tambah PM Lee.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan