S'pura akan terus melabur dalam kanak-kanak; beri mereka permulaan hidup sebaik mungkin
Singapura akan terus "melabur banyak" dalam kanak-kanak untuk memberikan mereka "permulaan hidup yang sebaik mungkin", kata Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapannya semasa membentangkan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb).
Para pelajar sebuah sekolah rendah di Singapura. (Gambar: Chan Chun Sing/Facebook)
SINGAPURA: Singapura akan terus "melabur banyak" dalam kanak-kanak untuk memberikan mereka "permulaan hidup yang sebaik mungkin", kata Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapannya semasa membentangkan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb).
“Seperti mana kita memperkasa kumpulan yang lemah, kami juga akan terus meningkatkan mobiliti sosial," tambah beliau.
“Pemerintah komited untuk memastikan semua rakyat Singapura mempunyai peluang untuk berjaya, tidak kira latar belakang mahupun titik permulaan mereka."
Sokongan bermula awal dari peringkat prasekolah, terutamanya bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, kata Encik Wong.
“Namun, kami tahu bahawa segelintir kanak-kanak mudah terdedah tercicir atau ketingggalan di belakang dalam sistem pendidikan kerana keadaan sulit yang dihadapi di rumah. Intervensi awal semasa tahun-tahun awal pembangunan mereka boleh membuat perbezaan ketara dalam kehidupan mereka."
Program KidSTART, yang memanfaatkan rangkaian rakan kerja masyarakat untuk menghulurkan sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak kecil yang layak, berada dalam landasan untuk memberi bantuan kepada 5,000 kanak-kanak menjelang 2023, kata Encik Wong.
Program itu akan diperluaskan secara bertahap-tahap di seluruh negara untuk menyokong lebih banyak keluarga yang layak, tambah beliau.
Baru-baru ini, Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) mengumumkan pada Oktober 2021 bahawa setiap kanak-kanak KidSTART akan menerima S$100 bagi setiap tahun mereka mengikuti program itu secara tetap sehingga mereka mencapai usia enam tahun.
Kanak-kanak juga akan layak menerima tokokan tambahan sekali sahaja apabila mereka mendaftar masuk ke prasekolah.
Tokokan sekali sahaja akan tambah kepada S$200 jika mereka didaftarkan pada usia antara tiga dengan empat tahun.
Program Perintis Masyarakat UPLIFT dimulakan untuk melengkapi KidSTART di samping mengukuhkan sokongan buat kanak-kanak sekolah dari keluarga kurang berkemampuan, terang Encik Wong.
Ini termasuk menghubungkan mereka dengan agensi khidmat sosial dan pendamping yang akan kerap bertanya khabar mereka dan menyediakan bimbingan, menurut beliau.
UPLIFT, atau Pasukan Bertindak bagi Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga, bertujuan mengukuhkan sokongan bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang kurang menunjukkan prestasi dalam pelajaran. Ia khususnya menangani ketidakhadiran jangka panjang dan kadar keciciran di sekolah.
Program perintis itu membuahkan "hasil positif", kata Encik Wong sambil menarik perhatian bahawa kehadiran ke sekolah bertambah baik bagi kebanyakan pelajar yang menjalani program tersebut.
Program perintis itu bakal dilanjutkan kepada Rangkaian Masyarakat UPLIFT Seluruh Negara untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar, umum beliau. Ia akan dimulakan dengan lapan lagi bandar pada tahun ini dan lebih banyak lagi pada tahun-tahun mendatang.
Satu lagi "campur tangan penting" adalah untuk menyediakan kanak-kanak ini dengan persekitaran lebih kondusif untuk mereka membesar, kata Encik Wong.
Untuk menyokong lebih baik keluarga-keluarga yang berusaha mendapatkan pemilikan rumah, Skim Perumahan Permulaan Baru akan ditingkatkan, kata Menteri Kewangan itu.
Beliau menarik perhatian Skim Perumahan Permulaan Baru membantu keluarga berpendapatan rendah untuk membeli rumah mereka sendiri buat kali kedua. Keluarga kali kedua merujuk kepada mereka yang sebelum ini sudah menikmati satu subsidi perumahan.
Lebih banyak butiran akan dikongsi semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pembangunan Negara (MND), kata Encik Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.