Skip to main content

Singapura

SPS tingkat usaha sokong banduan lanjut usia; sekitar 16% berumur 60 tahun ke atas pada 2025

Banduan berusia 71 tahun, Desmond (bukan nama sebenar), masih ingat kejadian selepas dia dibebaskan dari penjara kira-kira 20 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SPS tingkat usaha sokong banduan lanjut usia; sekitar 16% berumur 60 tahun ke atas pada 2025

“Desmond” sudah dipenjarakan sebanyak 14 kali selepas bergelut dengan ketagihan heroin selama kira-kira 50 tahun. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 02:11PM Dikemas Kini : 14 Aug 2026 03:28PM
  • Jumlah banduan warga emas di Singapura semakin meningkat, mendorong SPS menyesuaikan kemudahan penjara dan latihan pegawai untuk keperluan mereka.
  • Banduan lanjut usia menghadapi cabaran seperti masalah kesihatan, pergerakan terhad, serta kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan masyarakat selepas dibebaskan.
  • Program seperti TMSEO dan sokongan organisasi masyarakat membantu bekas banduan mencari tempat tinggal, pekerjaan, serta membina semula hubungan sosial.
  • Stigma, pengasingan sosial dan kehilangan harga diri menjadi cabaran utama, namun sokongan dan peluang kedua penting untuk pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Banduan berusia 71 tahun, Desmond (bukan nama sebenar), masih ingat kejadian selepas dia dibebaskan dari penjara kira-kira 20 tahun lalu.

Dia menaiki bas tetapi tidak tahu bagaimana untuk membayar tambang kerana sistem pembayaran sudah berubah sepanjang tempoh dia menjalani hukuman penjara.

“Dahulu ada kad yang perlu dimasukkan dan kita tekan harga tambang bas, kemudian mereka tukar kepada sistem bayaran tanpa wang tunai. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Orang di belakang saya terpaksa membantu saya. Saya berasa sangat malu, seolah-olah saya dari angkasa lepas,” kata Desmond.

Desmond sudah dipenjarakan sebanyak 14 kali selepas bergelut dengan ketagihan heroin selama hampir 50 tahun.

Dia berharap hukuman penjara kali ini akan menjadi yang terakhir, namun bimbang tentang peluang pekerjaan, tempat tinggal dan keupayaannya untuk terus bebas dadah selepas dibebaskan kelak.

“Disebabkan usia saya yang semakin meningkat, saya sudah hilang rasa harga diri,” katanya lagi. “Kadangkala saya tanya diri sendiri, apa bezanya sama ada saya berada di luar atau meringkuk dalam penjara.”

Desmond adalah antara sejumlah banduan warga emas yang semakin meningkat di Singapura.

Pada 2025, kira-kira satu daripada enam banduan di Singapura berusia 60 tahun ke atas, berbanding sekitar satu daripada 10 pada 2019, menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).

Jumlah banduan berusia 65 tahun ke atas pula meningkat lebih dua kali ganda sepanjang tempoh yang sama, daripada 3.7 peratus kepada 8.7 peratus.

Menurut SPS trend itu mencerminkan penduduk Singapura yang semakin menua dan mendorong agensi tersebut membuat penyesuaian terhadap cara ia mengurus serta menyokong banduan warga emas.

SPS SESUAIKAN KEMUDAHAN UNTUK BANDUAN WARGA EMAS

Semakin ramai banduan warga emas mengalami penyakit kronik, masalah pergerakan dan keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan usia yang meningkat, menurut pegawai SPS yang ditemui Mediacorp.

“Mereka mempunyai banyak masalah kesihatan. Ada antara mereka yang mungkin mula menunjukkan tanda awal demensia,” menurut Penolong Superintenden Jolene Ngo, seorang pegawai di cawangan Perancangan Pemulihan dan Pembangunan SPS.

Beliau menambah bahawa para pegawai penjara perlu dilengkapi dengan kemahiran serta kesabaran yang diperlukan untuk mengurus banduan sedemikian.

Banduan warga emas yang memerlukan penjagaan berkaitan lanjut usia menjalani hukuman di Unit Pemulihan Kehidupan Dibantu (ALCU), di mana purata usia banduan ialah sekitar 60 tahun.

Banduan lebih muda yang mempunyai pengalaman menjaga orang lain dan dianggap sesuai akan dipadankan dengan banduan yang mengalami masalah pergerakan.

Banduan lebih muda, yang turut dikenali sebagai pembantu, akan menerima insentif kewangan dan keistimewaan seperti makanan ringan, kopi dan roti sebagai ganjaran.

Sel-sel ALCU dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas logam bagi banduan yang sukar mencangkung, susur tangan untuk membantu pergerakan serta kemudahan mandi yang boleh digunakan sambil duduk.

Sedang semakin ramai banduan lanjut usia, lebih banyak sel boleh diubah suai menjadi unit kehidupan dibantu apabila diperlukan.

CABARAN SELEPAS DIBEBASKAN

Membuat penyesuaian pada kemudahan penjara hanya menangani sebahagian daripada masalah-masalah yang dialami.

Bagi ramai banduan warga emas, mencari tempat tinggal selepas dibebaskan merupakan antara cabaran utama untuk membina semula kehidupan mereka.

Program Throughcare Management Services for Elderly Offenders (TMSEO) SPS menyokong pemulihan dan penyepaduan semula pesalah serta bekas pesalah warga emas yang mempunyai masalah pergerakan.

Program yang dikendalikan Care Community Services Society (CCSS) menerima lebih 150 rujukan sepanjang dua setengah tahun lalu.

Kira-kira 35 peratus daripada mereka yang dirujuk menghadapi masalah berkaitan perumahan.

“Jika mereka tinggal sendirian tanpa sebarang sokongan keluarga atau waris, terdapat kebimbangan mengenai proses penyepaduan semula mereka dan keupayaan untuk kekal di luar penjara,” kata Ketua Care Family di CCSS, Chan Soon Onn.

Bagi individu sedemikian, pertubuhan itu akan memohon penginapan di rumah perlindungan atau pusat perlindungan sementara sepanjang tempoh penjagaan selepas dibebaskan.

KEHIDUPAN DI LUAR PENJARA BOLEH JADI LEBIH SUKAR

Selain perumahan, bekas pesalah juga perlu membina semula hubungan sosial dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar penjara selepas bertahun-tahun dipenjarakan.

Menurut perangkaan terkini SPS, kira-kira satu daripada lima banduan yang dibebaskan kembali melakukan kesalahan dalam tempoh dua tahun.

Kadar pesalah yang kembali melakukan kesalahan dalam tempoh dua tahun bagi kumpulan yang dibebaskan pada 2023 ialah 21.9 peratus, berbanding 21.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Dunia di dalam penjara lebih mudah berbanding di luar,” kata Pengarah Eksekutif Cornerstone Community Services Lew Mi Yih yang pernah bekerja bertahun-tahun di penjara sebelum beralih ke bidang khidmat sosial.

Selain cabaran untuk kembali menyesuaikan diri dengan masyarakat pada usia lanjut, bekas banduan juga berdepan stigma pernah dipenjarakan.

Bekas pesalah warga emas turut menghadapi kemerosotan kesihatan dan kehilangan tahap kebebasan diri.

Bagi membantu sukarelawan Cornerstone Community Services memahami cabaran tersebut dengan lebih baik, mereka menjalani simulasi yang meniru kemerosotan daya penglihatan, kehilangan daya pendengaran, tahap ketangkasan yang berkurangan dan juga proses mengasingkan ubat-ubatan.

Cik Lew berkata matlamatnya adalah untuk memahami keadaan setiap individu dan bukannya membuat andaian mengenai bantuan yang mereka perlukan.

“Setiap warga emas mahu maruah mereka terpelihara. Maruah masih penting bagi mereka,” kata beliau.

Mantan paderi dan sukarelawan penjara Linda Ng berkata ramai bekas pesalah dan banduan warga emas pulang ke pangkuan masyarakat tanpa ramai individu yang boleh mereka bergantung hidup.

“Pengasingan sosial sering berlaku,” kata Cik Ng.

“Mereka ibarat golongan yang sudah dilupakan dan perkara itu sangat menyedihkan. Saya benar-benar berpendapat kita boleh memainkan peranan masing-masing.”

Penolong Superintenden SPS Ngo berharap masyarakat dapat lebih memahami banduan warga emas.

Cik Ngo berkata: “Masih ada sedikit stigma atau rasa takut apabila seseorang mengetahui bahawa individu itu mungkin pernah menyalahgunakan dadah, atau apabila melihat banyak tatu pada tubuhnya.

PELUANG KEDUA

Bagi sesetengah bekas pesalah dan banduan, mempunyai tujuan dalam hidup boleh membantu mereka menghindari jenayah.

Encik Upu Badarudin, 59 tahun, menjalani hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan dadah sebelum dibebaskan pada 2020.

Beliau kini memiliki sebuah kedai gunting rambut, di mana beliau membimbing bekas pesalah dan menggajikan bekas banduan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Dengan mempunyai tempat sendiri, kedai sendiri, saya mempunyai komitmen dan disiplin. Ini menjauhkan saya daripada pengaruh buruk dan segala maksiat,” kata beliau lagi.

Bagi Encik Upu, sokongan daripada orang lain penting, namun beliau percaya perubahan berkekalan juga perlu diusahakan oleh diri sendiri.

Beliau berkata tiada siapa mahu dilabel sebagai orang jahat kerana seseorang itu tidak dilahirkan sebagai orang jahat. Sebaliknya, kesilapan perlu disedari dan disesali supaya seseorang dapat berubah serta melakukan kebaikan kepada orang lain.
Sumber : CNA/NU/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita