Skip to main content

Singapura

SPS, AGC bertindak secara tidak sah, dedah dan minta surat banduan

Anggaran Waktu Membaca:
SPS, AGC bertindak secara tidak sah, dedah dan minta surat banduan

Gambar fail Mahkamah Tinggi di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 11 Oct 2024 09:25PM
SINGAPURA: Khidmat Penjara Singapura (SPS) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) bertindak secara tidak sah dengan mendedahkan dan meminta surat-surat banduan.

Demikian menurut keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat (11 Okt).

Mahkamah juga mendapati SPS dan AGC melanggar kerahsiaan banduan dengan mendedahkan dan menyimpan surat-surat mereka, menurut keputusan yang dibaca oleh Hakim Kanan Judith Prakash.

Seramai 13 bekas banduan dan banduan akhir memfailkan kes sivil terhadap Peguam Negara (AG) mengenai surat-surat peribadi mereka, termasuk surat kepada keluarga, peguam dan presiden.

Asas aduan tersebut adalah SPS dan AGC melanggar hak kerahsiaan banduan dan bahawa mereka layak menerima ganti rugi. Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa AG bertindak secara tidak sah dan di luar bidang kuasanya.

Mahkamah rendah pada 22 Julai menolak kebanyakan tuntuan mereka, namun meluluskan "ganti rugi nominal" sebanyak S$10 kepada tiga banduan atas pelanggaran hak kerahsiaan mereka.

Semua 13 banduan kemudian mengemukakan rayuan terhadap keseluruhan keputusan hakim itu dan percaya bahawa mereka berhak menerima "lebih banyak ganti rugi".

Banduan tersebut ialah: Syed Suhail Syed Zin, Gobi Avedian, Datchinamurthy Kataiah, Hamzah Ibrahim, Iskandar Rahmat, Saminathan Selvaraju, Rosman Abdullah, Roslan Bakar, Masoud Rahimi Mehrzad, Zamri Mohd Tahir, Pannir Selvam Pranthaman, Tan Kay Yong dan Ramdhan Lajis.

BAGAIMANA KES ITU BERMULA?

Aduan tentang cara pihak berkuasa penjara mengendalikan surat-surat banduan pertama kali dibuat oleh banduan Datchinamurthy.

Dia mendakwa pada April 2020, SPS menyerahkan salinan dokumen-dokumen yang diberikan oleh keluarganya kepadanya di penjara kepada AGC. SPS tidak mempertikaikan dakwaan tersebut.

Kemudian AGC meminta maklumat daripada SPS pada waktu yang berasingan tentang sama ada seorang lagi banduan, Gobi, dan Datchinamurthy sudah menyerahkan rekod bertulis pertemuan mereka kepada keluarga masing-masing.

Sebagai respons, dan tanpa sebarang permintaan daripada AGC bagi dokumen-dokumen itu, SPS menyerahkan salinan surat dua banduan tersebut kepada keluarga mereka, kepada AGC.

Dalam satu kes sebelum itu, yang melibatkan Gobi dan Datchinamurthy, mahkamah memutuskan meskipun SPS ada kuasa untuk membuat salinan surat-surat mereka, ini tidak termasuk membolehkan SPS menyerahkan salinan surat sedemikian kepada AGC.

Datchinamurthy, Gobi dan lagi lapan banduan lain kemudian memulakan kes terhadap AG bagi lebih banyak maklumat tentang tindakan menyerahkan surat-surat kepada AGC oleh SPS.

AGC secara sukarela mendedahkan semua surat yang diterimanya daripada SPS. Ini surat-surat daripada 13 banduan berkenaan.

Ini membawa kepada permulaan tuntutan sivil daripada 13 banduan tersebut.

SURAT

Surat-surat tersebut - 68 dokumen kesemuanya - oleh para banduan itu terletak di bawah kategori berbeza.

Yang pertama adalah surat dengan pelbagai agensi awam atau pemerintah, seperti surat kepada pendaftar Mahkamah Tinggi, Pasukan Polis Singapura dan Presiden Singapura.

Ia juga termasuk surat dengan pertubuhan-pertubuhan lain, seperti Persatuan Undang-Undang Singapura dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.

Antara surat yang juga diberikan oleh AGC kepada SPS adalah surat antara para banduan dengan peguam mereka,serta surat daripada banduan, Suhail, kepada pakciknya.

Sebagai sebahagian daripada tuntutan asal, para banduan itu meminta tujuh perkara.

1. Pengisytiharan bahawa AG betindak di luar kuasanya dan secara tidak sah dengan meminta surat-surat atau maklumat peribadi Suhail, Datchinamurthy dan Roslan didedahkan tanpa kebenaran mereka.

2. Pengisytiharan bahawa AG bertindak di luar kuasanya dan secara tidak sah apabila SPS mendedahkan surat-surat 13 banduan tanpa kebenaran mereka, meskipun tiada permintaan daripada AGC.

3. Pengisytiharan bahawa AG melanggar kerahsiaan dengan mendedahkan dan menyimpan surat-surat sulit Suhail, Datchinamurthy, Hamzah, Iskandar, Masoud Rahimi dan Pannir Selvam.

4. Untuk ganti rugi dinilai bagi 13 banduan atas pelanggaran kepercayaan.

5. Pengisytiharan bahawa AG melanggar hak cipta Datchinamurthy, Iskandar dan Rosman dalam surat-surat peribadi mereka dengan membuat salinan semula dan menyimpan surat-surat tersebut.

6. Untuk ganti rugi dibayar oelh AG atas pelanggaran hak cipta tiga banduan tersebut.

7. Perintah untuk bantuan lanjut sebagaimana yang disifatkan sebagai wajar oleh mahkamah.

Mahkamah rendah menolak tuntutan satu hingga lima, tetapi mengarahkan ganti rugi nominal S$10 untuk dibayar kepada tiga banduan yang membuat tuntutan bagi pelanggaran hak cipta.

PENDEDAHAN TIDAK SEJAJAR AMALAN BIASA

Mahkamah diberitahu bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan SPS lazimnya menjadualkan hukuman gantung bagi banduan apabila tiada lagi prosiding relevan yang memerlukan hukuman ditangguh.

Sebagai sebahagian proses itu, MHA dan SPS biasanya berkongsi dokumen-dokumen dengan AGC, meminta nasihat mengenai sebarang hal berkait undang-undang, yang mungkin menjejas tarikh hukuman gantung.

Memandangkan para pegawai SPS dan MHA yang mengendalikan perkara sedemikian tidak dilatih dari segi undang-undang, jika mereka menjumpai sebarang dokumen yang kelihatan seperti dokumen undang-undang, mereka akan menghantarkannya kepada AGC untuk mendapatkan nasihat.

"Pendekatan ini diambil sebagai langkah sangat berjaga-jaga," kata Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong dalam satu afidavit.

Mahkamah menarik perhatian bahawa hampir semua pendedahan yang dibuat boleh dijelaskan menerusi amalan itu, memandangkan dokumen-dokumen itu berkait prosiding hasil daripada sabitan dan hukuman, atau penolakan rayuan.

Ini termasuk aduan terhadap para peguam, permintaan bagi bantuan undang-undang atau permohonan pengampunan kepada presiden.

Namun terdapat kes di mana pendedahakan yang dibuat tidak sejajar dengan amalan-amalan tersebut. Ini termasuk satu surat daripada Roslan kepada mahkamah negara, satu surat daripada Datchinamurthy kepada polis, dua surat daripada polis kepada Datchinamurthy dan satu surat daripada Saminathan kepada polis.

Terdapat juga tiga surat daripada Datchinamurthy kepada bekas peguamnya.

Mahkamah diberitahu, pendedahan surat-surat itu timbul daripada MHA atau SPS mahu memperoleh nasihat AGC tentang bagaimana untuk memberi respons kepada permintaan yang dibuat oleh para banduan.

Namun "satu lagi pendedahan ketara" dibuat di luar amalan biasa - iaitu surat-surat Suhail kepada pakciknya pada Mac dan Mei 2017.

Dalam satu kes sebelum itu terhadap Suhail, AGC memberitahu mahkamah bahawa ia memegang surat-surat Suhail. AGC kemudian menyatakan ia tidak menggunakan surat-surat itu atau meraih sebarang manfaat dalam prosiding undang-undang terhadap Suhail.

AGC pada waktu itu meminta dan menerima surat Suhail kepada pakciknya.

"Jelas bagi kami bahawa surat-surat Suhail bukan hanya diminta oleh AGC, tetapi juga digunakan oleh pihak pendakwa (dalam semakan jenayah Suhail), sejauh ini, dalam penyerahannya, ia menarik parhatian kepada hakikat bahawa Suhail ada mengirim surat kepada pakciknya," kata Hakim Prakash.

"Ini agak bercanggah dengan kenyataan (AG) sebelum ini...bahawa surat-surat Suhail tidak digunakan dalam sebarang prosiding undang-undang."

Mahkamah Rayuan menyatakan cara surat-surat Suhail dikendalikan "sememangnya menimbulkan sedikit keprihatinan".

Sekalipun demikian, ia menekankan bahawa kesan pendedahan tersebut ke atas semakan kes jenayah Suhail dan kes-kes lain bukan keprihatinan yang dibangkitkan secara langsung dalam rayuan ini. Ia sebaliknya tertumpu kepada ganti rugi yang diinginkan oleh pihak yang mengemukakan rayuan.

DAPATAN MAHKAMAH

Mahkamah - yang termasuk Ketua Hakim Sundaresh Menon dan Hakim Steven Chong - memutuskan bahawa tindakan SPS menyerahkan salinan surat-surat para banduan kepada AGC adalah tidak sah, dan tindakan AGC menerima atau meminta surat-surat juga menyalahi undang-undang.

Tiada asas undang-undang untuk SPS mendedahkan surat-surat peribadi para banduan.

Meskipun terdapat peraturan yang membolehkan pegawai penjara membawa dan menyalin surat daripada dan kepada banduan, ini terbatas dan tidak membolehkan SPS menyalin surat-surat antara peguam dengan anak guam.

SPS juga tidak dibenarkan berkongsi surat-surat sedemikian dengan sesiapa, termasuk AGC.

Sekalipun demikian, mahkamah mengiktiraf bahawa dalam sesetengah kes, SPS mungkin perlu mendedahkan kandungan surat banduan kepada pihak berkuasa relevan. Ini untuk memperoleh nasihat undang-undang atau lain-lain.

Dalam kes sedemikian, SPS perlu "sekurang-kurangnya" menjelaskan kepada AGC bahawa pendedahan itu hanya bagi tujuan memperoleh "nasihat tertentu dan mendesak dan mengenal pasti isu yang memerlukan nasihat", kata Hakim Prakash.

AGC mesti meletakkan sistem-sistem untuk mengekalkan kerahsiaan sebarang dokumen yang diterima bagi tujuan tersebut, dan AGC hanya boleh mendedahkan kepada pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan nasihat yang diperluhan kepada SPS.

"Pengecualian terhad" ini tidak membolehkan AGC meminta agar surat banduan didedahkan.

Mahkamah menarik perhatian bahawa tiada proses-proses yang dilaksanakan oleh AGC untuk mengekalkan kerahsiaan dokumen-dokumen yang didedahkan oleh SPS atau untuk memastikan ia tidak dilihat oleh para pegawai yang mengendalikan hukuman gantung banduan.

Menurut mahkamah meskipun langkah-langkah diambil oleh AGC dan SPS untuk memperbetul keadaan, satu "pengisytiharan bertindak secara tidak sah...bernilai bagi para banduan dan orang awam".

Mengenai pelanggaran kepercayaan, sesetengah surat yang ditulis kepada para hakim dan polis tiada sebarang kerahsiaan dijangkakan, menurut mahkamah. Ini termasuk empat petisyen bagi pengampunan kepada mahkamah dan satu lagi petisyen kepada presiden.

Para banduan yang menulis surat-srat tersebut tidak menjangkakan surat-surat itu tidak diserahkan kepada pihak pendakwaan, menurut mahkamah.

Namun sesetengah surat lain - termasuk kepada peguam mereka, persatuan undang-undang tentang aduan terhadap peguam dan permintaan bagi bantuan, serta kepada keluarga - ada "kerahsiaan dijangkakan".

Mahkamah memutuskan bahawa AG melanggar hak kerahsiaan 11 banduan.

Tentang sama ada sabitan kesalahan atau hukuman para banduan itu terjejas oleh pendedahan surat mereka, ini adalah perkara untuk prosiding semakan jenayah, dan bukan rayuan sivil, menurutr mahkamah.

Ia menolak tuntutan ganti rugi daripada para banduan itu, sambil menambah bahawa tidak ada keputusan tempatan yang memberikan ganti rugi punitif bagi pelanggaran kepercayaan. Para banduan itu juga tidak memberikan sebarang asas undang-undang untuk tuntutan sedemikian.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita