SPP di GRC Bishan-Toa Payoh yakin raih sokongan "lebih baik"
Pasukan Parti Rakyat Singapura (SPP) di GRC Bishan-Toa Payoh yakin sokongan yang diterimanya kali ini "lebih baik" berbanding pilihan raya 2015.
SINGAPURA: Pasukan Parti Rakyat Singapura (SPP) di GRC Bishan-Toa Payoh yakin sokongan yang diterimanya kali ini "lebih baik" berbanding pilihan raya 2015.
Setiausaha Agung SPP Steve Chia bahkan meramalkan pasukannya mampu mendapat sekitar 40 peratus undi di GRC yang mempunyai 101,366 pengundi itu.
"Berbanding 2015, saya rasa prestasi kami lebih baik. Saya rasa kita mungkin akan mendapat lebih daripada 30 peratus seperti sebelumnya. Adakah kita sudah melepasi 50 peratus? Saya tidak rasa begitu tetapi kita sedang bekerja keras. Mungkin sekitar 40 peratus," kata Encik Chia semasa ditemui pada Isnin (6 Jul) di Toa Payoh Lorong 2.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) mempertahankan GRC terkecil Singapura itu dengan 56.9 dan 73.6 peratus undi, masing-masing pada 2011 and 2015.
"KITA BOLEH BERI PERSAINGAN HEBAT"
Diminta mengulas tentang lawan mereka, calon SPP, Encik Osman Sulaiman, 45 tahun, tidak menafikan pasukan PAP memang kuat tetapi yakin SPP mampu memberi persaingan baik.
"Mereka (PAP) sangat berwibawa, tentunya. Dr Ng Eng Hen sebagai menteri mempunyai banyak pengaruh. Tetapi akhirnya ia berbalik kepada dasar-dasar (negara)," kata Encik Osman, seorang pemilik perniagaan ubah elok.
Beliau pernah bertanding di bawah bendera Parti Reform dalam dua pilihan raya sebelumnya.
"Sejauh ini responsnya baik. Kami ada juga penyokong-penyokong yang kuat di sini. Para penduduk ada memberi maklum balas macam mana kita harus mendekati mereka dan apa masalah-masalah yang menghadapi. Kita boleh memberi persaingan yang hebat," tambah Encik Osman.
Lawan SPP di GRC Bishan-Toa Payoh terdiri daripada Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Menteri Negara Kanan Pendidikan merangkap Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat, Encik Saktiandi Supaat dan Encik Chong Kee Hiong.
ISU MASYARAKAT MELAYU YANG INGIN DIPERJUANGKAN
Pasukan PAP sebelum ini menyatakan ia akan menubuhkan Pusat Pekerjaan dan Kemahiran di GRC Bishan-Toa Payoh, selain mengeluarkan hampir 4,000 dermasiswa dan biasiswa kepada penduduk.
Pada sisi lain, SPP menuduh Pemerintah sebagai gagal menghuraikan banyak isu yang menimbulkan keprihatinan seperti soal pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi, selain isu kaum minoriti.
Maka itu, di bawah manifestonya yang bertajuk "Masa Depan yang Cerah" ia membentangkan pelbagai saranan bagi 10 isu utama.
Antaranya termasuk, membolehkan rakyat membuat pinjaman menggunakan akaun CPF mereka.
Encik Osman juga berharap untuk melakukan sesuatu bagi masyarakat Melayu.
"Saya rasa masyarakat Melayu masih banyak isu-isu yang tertunggak lagi," kata beliau.
"Misalnya isu kadar penceraian yang tinggi dan salah guna dadah. Kalau saya diberi peluang, saya rasa saya akan bergabung dengan semua pertubuhan seperti MENDAKI, MUIS, RIMA - adakan kepimpinan kolektif untuk menangani isu-isu tersebut."
SPP aktif berkempen sejak Hari Penamaan Calon. Ia mengagihkan sekitar 4,000 risalah setiap kali keluar berkempen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.