SPP bakal bertanding di 4 kawasan undi pada pilihan raya akan datang
Parti Rakyat Singapura (SPP) akan bertanding di empat kawasan undi pada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, menurut parti tersebut dalam kenyataannya pada Sabtu (14 Mac).

Setiausaha Agung Parti Rakyat Singapura (SPP) Steve Chia di Bishan Street 11. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Parti Rakyat Singapura (SPP) akan bertanding di empat kawasan undi pada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, menurut parti tersebut dalam kenyataannya pada Sabtu (14 Mac).
Pengumuman parti tersebut dibuat sehari selepas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) dikeluarkan.
SPP akan bertanding di tiga Kawasan Undi Perseorangan (SMC) - Potong Pasir, Marymount dan Mountbatten dan satu Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan-Toa Payoh.
"Memilih kawasan undi mana untuk bertanding adalah satu keputusan yang tidak boleh dipandang mudah. Ia adalah satu keputusan hasil kerja keras kami selama bertahun-tahun tanpa lelah menemui penduduk, memberi khidmat dan sokongan," menurut parti berkenaan.
Laporan EBRC pada Jumaat mengesyorkan diadakan 14 SMC, naik dari 13 sekarang ini bagi GE akan datang. Empat daripadanya - Kebun Baru, Marymount, Punggol West dan Yio Chu Kang - adalah baru, manakala tiga dibubarkan.
Laporan itu juga menambah GRC baru Sengkang, menjadikan jumlah GRC kepada 17.
Pengerusi SPP Jose Raymond akan bertanding di SMC Potong Pasir. Dalam pilihan raya umum yang lalu, Encik Sitoh Yih Pin dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya mempertahankan kerusinya dengan meraih 66.4 peratus undi, mengalahkan Cik Lina Chiam dari SPP.
Sementara itu, Setiausaha Agung SPP Steve Chia akan memimpin pasukan yang akan mencabar PAP di GRC Bishan-Toa Payoh. Ia adalah kali ketiga SPP bertanding bagi GRC tersebut.
SPP juga ikut bertanding di SMC Mountbatten pada 2015, dengan Cik Jeanette Chong-Aruldoss meraih 28.16 peratus undi menentang Lim Biow Chuan dari PAP. Cik Chong-Aruldoss meninggalkan parti tersebut tahun lalu.
SMC Marymount adalah kawasan undi baru yang diwujudkan dari GRC Bishan-Toa Payoh. Ia sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan yang kini di bawah Menteri Tenaga Kerja Josephine Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.