Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SportSG, rakan program kitar semula mohon maaf, kasut sukan diderma dijual di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sport Singapore (SportSG) dan rakan kerja program kitar semula kasut sukan terpakai memohon maaf selepas kasut sukan yang didermakan untuk dikitar semula dan digunakan di kemudahan seperti trek stadium, sebaliknya ditawarkan untuk dijual semula akibat kesilapan di tempat subkontraktor.

Dalam satu kenyataan bersama dengan rakan-rakannya dalam program tersebut pada Isnin (27 Feb), SportSG mengumumkan bahawa khidmat subkontraktor, Yok Impex, firma yang terbabit dalam perdagangan barangan untuk dikitar semula, sudah dihentikan.

Kenyataan itu mendedahkan bahawa rakan-rakan projek tersebut diberitahu pada Januari, bahawa agensi berita Reuters menjejaki kasut yang didermakan menggunakan alat yang dipasang dalam kasut berkenaan. Ia mendapati, kebanyakan kasut yang terbabit dalam siasatan tersebut dijual di Indonesia.

Rakan-rakan projek itu kemudian menjalankan siasatan yang mengenal pasti "kelemahan pada rantaian proses" yang menyebabkan kasut-kasut yang didermakan itu tidak dihantar untuk dikitar semula. Kesilapan itu hanya berlaku di premis Yok Impex.

Projek "kasut lama masa depan baru" adalah inisiatif kitar semula yang diterajui SportSG dan gergasi petrokimia Dow Inc, dan dilancarkan pada Julai 2021 sebagai sebahagian daripada usaha nasional untuk mengitar semula kasut sukan untuk dijadikan bahan binaan untuk kemudahan, termasuk tempat bersenam dan taman permainan.

Kira-kira 300 tong derma disediakan di sleuruh negara, dengan syarikat Alba W&H Smart City dilantik untuk mengumpul semua kasut-kasut tersebut. Pada Januari 2022, syarikat itu mendapatkan khidmat Yok Impex untuk mengumpul kasut di beberapa kawasan di Singapura.

Kesilapan itu berlaku di premis Yok Impex "di mana pengumpulan tong kasut dengan aktiviti pembahagian Yok Impex menyebabkan sebahagian kasut dikeluarkan untuk dijual semula dan tidak dikitar semula".

Sejauh ini, 10,000 kilogram kasut terpakai dikitar semula menjadi bahan binaan prasarana seperti Hab Bola Sepak Kallang dan kemudahan sukan yang sedang dibina di Jurong Town.

Dalam satu kenyataan bersama, SportSG dan rakan-rakannya berharap dapat memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya kekal komited kepada inisiatif melindungi bumi.
Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan