Skip to main content

Singapura

SportSG, Dow sasar kitar semula 170,000 kasut sukan terpakai

Sebuah projek jangka pendek yang dilancarkan tahun lalu untuk mengitar semula kasut sukan terpakai untuk membina kemudahan sukan seperti laluan berlari-lari anak, taman permainan dan sudut senaman akan dijadikan sebagai satu daya usaha tetap.

Anggaran Waktu Membaca:
SportSG, Dow sasar kitar semula 170,000 kasut sukan terpakai

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 22 Jun 2021 09:21PM Dikemas Kini : 22 Jun 2021 09:25PM

SINGAPURA: Sebuah projek jangka pendek yang dilancarkan tahun lalu untuk mengitar semula kasut sukan terpakai untuk membina kemudahan sukan seperti laluan berlari-lari anak, taman permainan dan sudut senaman akan dijadikan sebagai satu daya usaha tetap.

Inisiatif tersebut yang disifatkan sebagai yang "pertama seumpamanya" di rantau Asia Pasifik, adalah kerjasama antara agensi sukan negara Sport Singapore (SportSG) dan syarikat sains bahan utama Amerika Syarikat, Dow.

Dalam pengumumannya pada Selasa (22 Jun), SportSG dan Dow menyatakan bahawa program pengumpulan kasut terpakai secara tetap akan ditubuhkan dan ia akan mula beroperasi pada 5 Julai.

Orang awam boleh meletakkan kasut-kasut sukan terpakai ke tong-tong berwarna jingga di mana-mana 100 pusat pengumpulan di merata Singapura termasuk pusat sukan ActiveSG dan stadium, cawangan Decathlon, sekolah dan institusi pengajian tinggi yang turut serta dalam program itu.

Projek itu yang menyasarkan untuk mengitar semula 170,000 kasut terpakai setiap tahun, memanfaatkan selanjutnya kejayaan projek sebelum ini yang diadakan dari September hingga November tahun lalu, di mana lebih 75,000 pasang kasut sukan dikumpul. Ini disamakan dengan kira-kira 3.3 kilometer laluan berlari-lari anak.

Bercakap di sebuah acara maya untuk mengumumkan projek itu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu berkata: "Kami melihat sisa bukan sebagai sesuatu untuk dibuang, tetapi sebagai sumber berharga untuk dijana.

"Dengan menjadikan kemampanan sebahagian daripada kehidupan harian kita, kita boleh mengubah kasut-kasut lama menjadi masa hadapan lebih baik."

Ketua Pegawai Eksekutif SportSG Lim Teck Yin berkata sambutan terhadap projek itu pada tahun lalu adalah menggalakkan dan "ia menunjukkan bahawa rakyat Singapura bersedia mengambil bahagian jika mereka boleh menghargai makna di sebalik penyertaan mereka".

"Kerjasama awam-swasta seperti ini sekali gus mempunyai peranan penting dalam mengenal pasti peluang-peluang mudah untuk penyertaan dan mewujudkan huraian kemampanan sebenar yang dapat diakses oleh orang ramai," katanya.

Presiden Dow bagi Asia Pasifik Encik Jon Penrice berkata: "Kerjasama sedemikian dengan rakan-rakan kongsi dari rantaian nilai adalah penting untuk beralih daripada masyarakat hasil-guna-buang kepada sebuah ekonomi kitaran di Singapura dan kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam membantu merealisasikannya, dan memikirkan semula apa yang boleh dilakukan dengan sisa yang sebelum ini dihantar ke tapak pelupusan.

"Kami gembira melihat projek ini mempunyai kesan sebenar di Singapura dan melihat potensi baginya diperluaskan dengan ketara di masa hadapan."

Dalam kenyataan media bersama, SportSG dan Dow menarik perhatian bahawa "kasut-kasut sukan terpakai akan membentuk saluran sisa kumpul-untuk-dikitar semula yang tetap di Singapura, yang akan membantu mengurangkan beban dan melanjutkan jangka hayat Semakau, satu-satunya tapak pelupusan luar pesisir Singapura".

Kerjasama itu juga melibatkan rakan-rakan kongsi seperti BT Sports, Alba WH, Decathlon dan Standard Chartered Bank.

Tapak dan bahagian tengah kasut terpakai yang diperbuat daripada getah dikisar menjadi butiran getah, yang kemudian digunakan sebagai bahan untuk membina infrastruktur sukan.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita