Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SportSG ambil alih Hab Sukan, Pemerintah janji lebih banyak acara masyarakat, sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Aug 2022 07:11PM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 12:01AM
SINGAPURA: Warga Singapura akan dapat menikmati akses kepada lebih banyak kemudahan Hab Sukan tidak lama lagi dan melibatkan diri dalam kegiatan riadah serta acara masyarakat. Ini selepas agensi sukan negara, Sport Singapore (SportSG), mengambil alih pemilikan dan pengurusan Hab Sukan Singapura mulai 9 Disember ini.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong berkata pada Isnin (1 Ogos) terdapat juga rancangan untuk menganjurkan lebih banyak acara antara sekolah termasuk Sukan Sekolah Kebangsaan (NSG), Pesta Belia Singapura (SYF), dan juga pertandingan sukan peringkat sekolah.

"Kami mahu jadikan Hab Sukan sebuah ikon masyarakat di mana warga Singapura dapat merasakan ia milik mereka dan jadikannya sebahagian daripada kegiatan sosial dan sukan mereka,"
kata Encik Tong dalam satu kenyataan kementerian di Parlimen.

Kenyataannya itu adalah yang pertama dibuat seorang Menteri mengenai keputusan untuk mengambil alih Hab Sukan.

Encik Tong menjawab soalan daripada beberapa Anggota Parlimen (AP) mengenai visi Pemerintah bagi Hab Sukan selepas diumumkan Jun lalu bahawa ia akan mengambil alih pemilikan penuh kemudahan sukan di Kallang seluas 35 hektar itu yang juga menyepadukan pusat hiburan dan gaya hidup bagi "memanfaatkan potensi sepenuhnya untuk Singapura".

Pemerintah akan mengambil alih pemilikan dan pengurusan Hab Sukan dari 9 Disember, sekali gus menamatkan perjanjian di bawah Perkongsian Awam-Swasta 13 tahun lebih awal.

Encik Tong berkata Pemerintah merancang untuk mengadakan acara rumah terbuka secara kerap di Hab Sukan dan Stadium Negara dengan kegiatan-kegiatan bagi semua lapisan usia.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang menyertai Akademi Bola Sepak ActiveSG yang baru boleh mengambil bahagian dalam kejohanan akhir tahun di Stadium Negara, sebagai sebahagian daripada projek Unleash The Roar!, untuk meningkatkan taraf bola sepak di Singapura.

Acara beramai-ramai juga akan diadakan di ruang masyarakat di dalam dan sekeliling Hab Sukan, termasuk 100Plus Promenade, OCBC Square. Satu contoh ialah acara GetActive! di bawah SportSG sempena meraikan Hari Kebangsaan menerusi sukan.

"Kami akan memastikan terdapat sebanyak ruang masyarakat yang terbuka dan percuma untuk digunakan semua," tambah beliau.

Encik Tong berkata Pemerintah akan memastikan acara masyarakat mudah diakses dan dalam kemampuan ramai.

PEMBANGUNAN KALLANG ALIVE

Menurut Encik Tong, rancangan masa depan bagi Hab Sukan itu akan melengkapi program pembangunan akan datang untuk menyuntik nafas baru di kawasan Kallang Alive, menjadikannya "kawasan sukan, hiburan dan gaya hidup yang bertenaga" menjelang 2030.

Kawasan Kallang Alive merupakan tapak seluas 89 hektar yang terletak di sepanjang Sungai Kallang dan Kallang Basin.

"Dengan itu, kita akan mempunyai ekosistem sukan yang menyeluruh - atlit profesional kita beraksi dalam arena, atlit muda kita berlatih dan orang awam menikmati sukan sosial," jelas beliau.

Antara pembangunan yang dirancang di kawasan Kallang Alive ialah:

Hab Bola Sepak Kallang, yang akan digunakan sebagai pusat latihan kebangsaan Singapura dan dijadual siap seawal akhir tahun ini

Pusat Tenis Kallang, yang akan siap menjelang tahun depan

Hab Belia dengan tempat bagi sukan masyarakat bandar seperti parkour, disasarkan siap mulai 2028

Benaan Kapal Green, ruang hijau di sepanjang Sungai Geylang dan Jalan Benaan Kapal, dengan akses melalui laluan penghubung taman. Ia dijadual siap sekitar 2032.

Pembangunan Bersepadu Teater Kallang, yang akan merangkumi arena tertutup yang boleh menganjurkan acara eSports, ruang pejabat dan hotel bertema. Ia disasarkan siap sekitar 2027.

The Alive Gateway and Loop, yang merupakan laluan berjalan atau larian bertingkat yang akan menyusur sebahagian lapangan terbang bekas kawasan Lapangan Terbang Kallang.

Kajian masih dijalankan bagi projek tersebut yang disasarkan siap mulai 2030.

SYARIKAT PEGANGAN BARU

SportSG akan menubuhkan sebuah syarikat pegangan bagi memiliki dan mengendalikan pelbagi aset dalam Kallang Alive, kata Encik Tong.

Sebuah anak syarikat firma pegangan itu akan ditubuhkan khas untuk memiliki dan menguruskan Hab Sukan.

Encik Tong menambah bahawa sebuah pasukan pegawai dari SportsSG sudah dikenalpasti bagi syarikat pegangan Hab Sukan itu dan menguruskan komplex tersebut sepenuh masa.

Pegawai-pegawai ini mempunyai pengalaman bersama Hab Sukan dan kebanyakkannya telah bekerja di konsortium SportsHub Pte Ltd sejak hab itu ditubuhkan.

 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan