Skip to main content

Singapura

SPF uji alat latihan bijak bagi simulasi tembakan sebenar, beri maklum balas segera

Anggaran Waktu Membaca:
SPF uji alat latihan bijak bagi simulasi tembakan sebenar, beri maklum balas segera
Seorang pegawai polis menguji sebuah pistol yang dipasang dengan sensor untuk menjejak pergerakan laras dan memberikan maklum balas masa nyata, pada 16 Disember 2025. (Gambar: CNA/Natasha Ganesan)
Diterbitkan : 16 Dec 2025 07:22PM
  • Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menguji teknologi latihan yang menyerupai keadaan tembakan sebenar (live-fire) serta memberi maklum balas segera bagi meningkatkan kemahiran menembak pegawai.
  • Dengan teknologi ini, pegawai boleh berlatih dalam persekitaran yang selamat dan terkawal sambil mengurangkan kebergantungan pada lapang sasar menembak, jadual tetap dan ketersediaan jurulatih.
  • Salah satu alat yang diterokai untuk meningkatkan prestasi menembak ialah sistem sensor yang dipasang pada pistol bagi menjejak pergerakan laras sebelum, semasa dan selepas setiap tembakan.
  • Alat-alat ini bertujuan melengkapi kurikulum senjata api sedia ada pasukan polis, yang merangkumi pembelajaran dalam bilik darjah, latihan berasaskan senario dan pensijilan semula setiap tahun.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menguji teknologi latihan yang menyerupai keadaan tembakan sebenar (live-fire) serta memberi maklum balas segera bagi meningkatkan kemahiran menembak pegawai.

Latihan 'dry-fire', yang tidak menggunakan peluru hidup, bertujuan melengkapi sesi latihan tembakan sebenar sedia ada, menurut SPF dalam satu kenyataan media pada Selasa (16 Dis).

Latihan senjata api konvensional, yang dijalani pegawai secara kerap setiap tahun, memerlukan lapang sasar menembak yang khas dan langkah keselamatan yang sesuai bagi memastikan pegawai mengekalkan ketepatan, keyakinan serta kesiapsiagaan beroperasi.

Dengan teknologi ini, pegawai boleh berlatih dalam persekitaran yang selamat dan terkawal sambil mengurangkan kebergantungan pada lapang sasar menembak, jadual tetap dan ketersediaan jurulatih.

Teknologi tersebut dapat mengesan penunjuk halus seperti kedudukan jari pada picu dan pernafasan, yang boleh menjejas ketepatan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

Ini sekali gus membolehkan jurulatih menilai dan membetulkan prestasi pelatih dengan lebih baik.

Ini juga menyokong pembelajaran secara kendiri dan fleksibel, kata SPF.

Fleksibiliti ini membolehkan para pegawai mengambil peranan aktif dalam pembangunan kemahiran menembak mereka, sambil membebaskan jurulatih untuk menumpukan perhatian kepada latihan dan pembelajaran yang lebih maju, menjadikan keseluruhan latihan lebih cekap dan berkesan.

Memandangkan alat bantuan latihan ini masih dalam peringkat percubaan, SPF menyatakan ia akan menimbangkan untuk melaksanakannya secara berperingkat sekiranya terbukti berguna.

SENSOR DAN LASER

Salah satu alat yang diterokai untuk meningkatkan prestasi menembak ialah sistem sensor yang dipasang pada pistol bagi menjejak pergerakan laras sebelum, semasa dan selepas setiap tembakan.

Dipadankan dengan aplikasi mudah alih, sistem ini menganalisis teknik tembakan dan memberi maklum balas masa nyata mengenai tarikan picu, pegangan, jangkaan hentakan balik (recoil) dan posisi badan - berfungsi seperti “jurulatih digital peribadi”.

Ini membantu pegawai membina prestasi yang konsisten dan ketepatan semasa latihan 'dry-fire', yang membawa kepada ketepatan yang lebih baik dalam situasi sebenar, kata pihak polis.

Satu lagi alat ialah platform latihan 'dry-fire' yang menggunakan kartrij laser dan sensor optik untuk meniru keadaan tembakan sebenar.

Pegawai boleh berlatih mengeluarkan senjata, membidik dan melepaskan tembakan ke sasaran simulasi, dengan markah segera dipaparkan pada aplikasi mudah alih yang disertakan.

Kartrij dengan kaliber berbeza boleh digunakan merentasi pelbagai jenis senjata api.

SPF menyatakan sistem ini meningkatkan kelajuan, ketepatan di bawah tekanan serta peralihan yang lancar antara pelbagai sasaran - semuanya tanpa memerlukan peluru hidup.

“Ini meningkatkan realisme dan keberkesanan latihan 'dry-fire',” tambah pihak polis.

Alat-alat ini bertujuan melengkapi kurikulum senjata api sedia ada pasukan polis, yang merangkumi pembelajaran dalam bilik darjah, latihan berasaskan senario dan pensijilan semula setiap tahun.

“Dengan memanfaatkan teknologi, SPF memastikan para pegawainya kekal mahir dan bersedia untuk bertindak tegas terhadap ancaman.”

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita