Skip to main content

Singapura

SPF tingkatkan rondaan, langkah kawalan orang ramai di Orchard Road pada malam Krismas

Anggaran Waktu Membaca:
SPF tingkatkan rondaan, langkah kawalan orang ramai di Orchard Road pada malam Krismas
Pegawai-pegawai dari Pasukan Polis Singapura (SPF) membuat rondaan. (Gambar Fail: CNA/Jeremy Long)
Diterbitkan : 22 Dec 2025 07:03PM Dikemas Kini : 22 Dec 2025 07:04PM
SINGAPURA: Rondaan dipertingkatkan dan langkah-langkah kawalan orang ramai akan dilaksanakan di sepanjang Orchard Road pada Rabu malam (24 Dis), iaitu pada malam Krismas.

"Pegawai polis, pegawai polis tambahan dan pengawal keselamatan akan dikerahkan bagi mengatur aliran orang ramai di sekitar Orchard Road,"
menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada Isnin (22 Dis).

Penghadang kawalan orang ramai dan tanda-tanda arah akan dipasang dan anggota keselamatan akan menjalankan rondaan yang dipertingkatkan dan mungkin melakukan pemeriksaan terhadap beg dan barang peribadi.

Orang ramai dinasihatkan supaya bekerjasama dengan anggota keselamatan bagi memudahkan pemeriksaan tersebut, menurut pihak polis.

"Sambil kita menikmati perayaan, kami menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam usaha kita memerangi jenayah dan keganasan," tambahnya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang orang atau sebarang aktiviti yang mencurigakan boleh menghubungi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di 1800-2626-473 atau Polis di 999, SMS ke 70999, atau menyerahkan maklumat secara dalam talian melalui platform I-Witness atau melaporkannya melalui aplikasi mudah alih SGSecure.

Pihak berkuasa juga mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dan menjaga barang-barang mereka pada setiap masa, terutamanya di kawasan yang sesak.

Oleh kerana jumlah orang yang ramai dijangkakan di kawasan itu, beberapa pintu masuk dan keluar di Stesen MRT Orchard mungkin ditutup untuk mengawal aliran orang ramai.

Polis menasihati orang ramai supaya menaiki MRT di stesen MRT Somerset bagi mengurangkan masa menunggu atau menggunakan pilihan pengangkutan awam lain.

Mereka yang bercadang untuk mengunjungi kawasan Orchard Road dinasihatkan supaya memeriksa peta Crowd@OrchardRoad untuk melihat tahap kesesakan orang ramai dalam masa nyata dan penutupan kawasan.

Platform tersebut akan mula beroperasi mulai pukul 5.00 petang pada Rabu.

Polis juga memberi amaran terhadap penggunaan barang-barang parti novelti yang mungkin mengganggu atau menjejaskan keselamatan orang lain, termasuk semburan busa aerosol.
Related article image
(Gambar: SPF)
Bagi memudahkan acara itu, jalan sepanjang Orchard Road antara Scotts Road dengan Bideford Road akan ditutup bagi semua kenderaan mulai pukul 6.00 petang pada Rabu hingga pukul 2.00 pagi pada Khamis.

Jalan susur dari Scotts Road ke Orchard Road dan jalan raya Mount Elizabeth ke arah Orchard Road juga akan ditutup pada waktu yang ditetapkan.

Semasa jalan-jalan ditutup, akses hanya akan diberikan kepada kenderaan yang dibenarkan dan kenderaan polis dan kecemasan.

Mereka yang menuju ke Hospital Mount Elizabeth boleh menggunakan laluan alternatif dari Bideford Road ke Mount Elizabeth Link.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita