Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SPF teroka cara cegah bunuh diri dalam kalangan pesalah selepas belia 20 tahun maut sebelum dihadapkan ke mahkamah

Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang meneroka cara-cara tambahan untuk membantu pesalah yang berisiko membunuh diri sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:
SPF teroka cara cegah bunuh diri dalam kalangan pesalah selepas belia 20 tahun maut sebelum dihadapkan ke mahkamah

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 08 Oct 2021 06:03PM Dikemas Kini : 08 Oct 2021 06:06PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang meneroka cara-cara tambahan untuk membantu pesalah yang berisiko membunuh diri sendiri.

Demikian menurut dapatan sisasatan koroner yang dikeluarkan minggu ini selepas seorang lelaki 20 tahun ditemui mati di bawah blok bertentangan dengan Mahkamah Negara pada hari pertuduhan rasminya.

Cara-cara tersebut termasuk menyediakan risalah tentang pencegahan dan intervensi bunuh diri serta poster di divisyen-divisyen polis dan termasuk juga maklumat yang mungkin boleh membantu seseorang pesalah seperti apa yang boleh dijangkakan apabila dihadapkan ke mahkamah.

Dapatan koroner itu memberi perincian tentang bagaimana lelaki yang membunuh diri itu disiasat bagi kesalahan-kesalahan termasuk menipu, melakukan pemalsuan dan menyamar sebagai seorang penjawat awam. Ia merupakan kali pertama beliau ditahan pihak berkuasa.

Lelaki itu melaporkan diri di Divisyen Polis Clementi pada pagi 10 Mac tahun ini bersama saudara tirinya dan dikenakan lima tuduhan, sebelum diberitahu supaya hadir di mahkamah keesokan harinya.

Pada 11 Mac, lelaki itu datang ke Mahkamah Negara dan duduk di mahkamah pertuduhan. Saudara tirinya yang juga hadir diarah naik ke tempat duduk untuk orang awam di atas.

Tidak lama kemudian, lelaki itu menghampiri pegawai keselamatan berkenaan dan berkata bahawa dia mahu ke tandas.

Sebaliknya, dia pergi ke sebuah blok bertentangan dengan bangunan Mahkamah Negara. Rakaman kamera polis menunjukkan lelaki itu mengambil lif dan menaiki tangga di Blok 51, Chin Swee Road.

Dia kemudian meminjam telefon bimbit seorang yang tidak dikenali untuk menelefon seorang lagi saudara wanitanya dan memberitahu beliau: "Jaga diri emak. Selamat tinggal."

Pada sekitar 11.00 pagi, seorang pekerja di kedai bawah blok berkenaan terdengar bunyi kuat dan mendapati tubuh lelaki itu di kaki lima.

Anggota paramedik dan polis yang tiba mendapati dia masih mempunyai denyut nadi yang lemah ketika dibawa ke hospital, namun meninggal dunia kurang dua jam kemudian.

Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai masalah pembelajaran sejak kecil lagi dan takut untuk ke sekolah serta dibuli oleh rakan-rakan sekelasnya.

Dia juga didiagnosis dengan kurang upaya pembelajaran dan mempunyai IQ amat rendah.

KETERANGAN PEGAWAI SIASATAN

Pegawai siasatan (IO) kes lelaki itu, Penolong Superintendan Polis (ASP) Koh Soon Loong berkata beliau pastinya akan memaklumkan kepada penjamin lelaki itu iaitu saudara tirinya, jika dia menunjukkan sebarang tanda tertekan atau menunjukkan tanda-tanda akan membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Menurut IO Koh, beliau dilatih dalam cara mengendalikan kes risiko bunuh diri dan juga telah mengikuti kursus peringkat asas mengenai penjagaan mangsa di Sekolah Home Team bagi Siasatan Jenayah.

Memberi keterangan bagi pihak SPF, Timbalan Superintendan Polis (DSP) Zulkarnain Sameian berkata mereka yang dinilai berisiko mencederakan diri sendiri dalam masa terdekat boleh dirujuk kepada Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk rawatan psikiatrik segera.

DSP Zulkarnain menerangkan bahawa semua pegawai polis dan pegawai polis perkhidmatan negara sepenuh masa yang dikerahkan ke lapangan sebagai pegawai tindak balas dilatih untuk menangani subjek yang berisiko membunuh diri.

Dalam mengendalikan kes pesalah muda pula, iaitu mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah, polis mengamalkan langkah-langkah tambahan untuk menjalankan soal siasat secara tertutup, kata DSP Zulkarnain.

SPF TEROKA CARA TAMBAHAN BANTU PESALAH BERISIKO

Susulan kes bunuh diri itu, SPF mula meneroka cara tambahan untuk memberi bantuan kepada pesalah yang berisiko, kata DSP Zulkarnain.

Misalnya, risalah-risalah dan poster tentang pencegahan dan intervensi bunuh diri dengan talian bantuan serta khidmat sokongan akan disediakan di divisyen-divisyen polis.

"SPF juga akan mempertimbangkan memberi maklumat lain yang mungkin akan membantu pesalah seperti apa yang boleh dijangkakan apabila dia ke mahkamah dan akses kepada bantuan perundangan," kata DSP Zulkarnain.

LEBIH SEPARUH KES BUNUH DIRI BERLAKU IKUT GERAK HATI, DALAM TEMPOH 24 JAM

Ketua khidmat utama di Samaritans of Singapore, Cik Charlene Heng berkata lebih separuh kes bunuh diri berlaku tanpa perancangan dan mengikut gerak hati dengan tindakan itu diambil dalam tempoh 24 jam dari waktu orang tersebut berfikir untuk melakukannya.

Sekitar 10 hingga 20 peratus kes berlaku hanya beberapa jam selepas pelaku terfikir untuk melakukannya, kata beliau sambil menambah bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mencegah individu sedemikian melainkan jika individu itu terserampak dengan sumber atau talian bantuan atau memutuskan untuk mendapatkan bantuan.

Koroner Kamala Ponnampalam memutuskan kematian lelaki itu sebagai tindakan bunuh diri.

Sumber : CNA/SM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa