Skip to main content

Singapura

SPF siasat dakwaan diskriminasi kaum, buli di tempat kerja susuli kematian pegawai, kata Shanmugam

Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam telah meminta Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menyiasat dakwaan dibuat seorang pegawai polis, yang antara lain berkata beliau menghadapi diskriminasi kaum dan buli di tempat kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam telah meminta Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menyiasat dakwaan dibuat seorang pegawai polis, yang antara lain berkata beliau menghadapi diskriminasi kaum dan buli di tempat kerja.

Polis dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat (21 Jul) berkata pihaknya menerima panggilan pada sekitar 4.55 petang yang meminta bantuan di Blok 393 Yishun Avenue 6.

Seorang lelaki berusia 36 tahun, yang dikenal pasti sebagai seorang pegawai polis, ditemui terbaring tidak bergerak di kaki blok berkenaan dan dibawa ke hospital. Beliau meninggal dunia pada hari yang sama.

Dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat malam, Encik Shanmugam menamakan pegawai itu sebagai Uvaraja Gopal dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Encik Shanmugam menambah beliau telah meminta polis meneliti dakwaan yang dibuat oleh pegawai itu sebelum kematiannya.

“Beliau telah memuatnaik catatan, yang antara lain mengatakan beliau menghadapi diskriminasi kaum dalam SPF. Dakwaan itu dan beberapa yang lain adalah serius,” tulis Encik Shanmugam.

“Saya telah meminta SPF menyiasat perkara itu secara menyeluruh. Kami akan mendapatkan jawapannya dan pikul tanggungjawab sepenuhnya.”

Encik Shanmugam mengulangi lagi "dasar jelas tanpa diskriminasi" dan semua pegawai berhak untuk dilayan secara adil.

“SPF sebagai sebuah organisasi komited dengan prinsip itu. Kami akan menyiasat faktanya,” tambah beliau

Dakwaan pegawai itu, yang turut menyebut budaya kerja toksik, pertama kali terbongkar dalam satu catatan Facebook.

Catatan itu sudah dipadamkan, tetapi beberapa tangkapan skrin disiarkan semula di Reddit.

Pegawai itu juga menulis bahawa dia telah meminta bantuan, tetapi dijauhi dan tidak diendahkan.

Dalam satu catatan Facebook, polis berkata pihaknya "sedar" tentang cabaran di tempat kerja yang telah dibangkitkan oleh pegawai itu, dan "telah menghulurkan pelbagai bantuan kepadanya".

“Kami akan meneliti dengan rapi dan menyiasat semua isu yang beliau bangkitkan dalam catatannya (Facebook)."

Polis juga sedang membantu keluarga pegawai itu dalam masa kesedihan mereka dan siasatan sedang dijalankan terhadap kematiannya.

Mediacorp sudah menghubungi polis berhubung bantuan yang dihulurkan kepada lelaki itu.
Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita