SPF sangkal dakwaan nelayan M'sia diusir Polis Pengawal Pantai

(Gambar: Polis Daerah Iskandar Puteri/Facebook)
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (25 Okt) menyangkal dakwaan bahawa Polis Pengawal Pantai (PCG) mengusir nelayan Malaysia yang berada di perairan Malaysia.
Dakwaan yang tersebar online, "tidak benar", tegas SPF.
Polis menyatakan pegawai PCG itu meronda perairan Singapura pada Ahad (23 Okt) sekitar pukul 4.00 petang.
"Mereka mengesan beberapa bot berdaftar Malaysia yang keluar dan masuk kawasan tembakan di perairan Singapura sekitar Lim Chu Kang," menurut SPF, sambil menambah bahawa bot yang tidak diluluskan tidak dibenarkan memasuki kawasan tembakan atas sebab-sebab keselamatan.
Pegawai PCG menghampiri bot dengan nobor pendaftaran Malaysia tersebut dan menggunakan sistem siar raya untuk menasihatkan mereka supaya meninggalkan kawasan tembakan di perairan Singapura.
Sekitar pukul 5.30 petang pada hari yang sama, SPF menyatakan beberapa bot berdaftar Malaysia mendekati pegawai PCG dan "meluahkan rasa tidak puas hati kerana disuruh meninggalkan kawasan tersebut".
"Pegawai kami menjelaskan bahawa bot yang tidak diluluskan dilarang memasuki kawasan tersebut dan meminta mereka meninggalkan kawasan itu demi keselamatan mereka."
Setelah bertagang urat, bot-bot berdaftar Malaysia itu pulang ke perairan Malaysia sekitar pukul 5.40 petang. Pertikaman lidah itu juga berlaku di perairan Singapura, menurut SPF.
Media Malaysia melaporkan bahawa nelayan tersebut mendakwa mereka dihalau pihak berkuasa Singapura semasa menyiapkan jala udang di kawasan Pasir Laba berdekatan Jambatan Linkedua pada Ahad (23 Okt).
Nelayan tersebut sejak itu sudahpun membuat aduan polis, lapor Bernama, dengan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Rahmat Ariffin berkata jabatan beliau menerima aduan berkenaan pada pukul 2.30 petang.
Beliau juga berkata, siasatan sedang dijalankan dan menasihatkan masyarakat awam supaya jangan membuat spekulasi.
Ahli Dewan Kota Iskandar Pandak Ahmad dilaporkan berkata beliau kecewa dengan pihak berkuasa Singapura, dengan kumpulan nelayan itu mendakwa mereka dihalau menggunakan kata-kata kesat.
Menurut BH Online, Encik Pandak berkata insiden serupa pernah berlaku beberapa kali. Namun, para nelayan menutup mulut untuk mengelak daripada terlibat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.