Skip to main content

Singapura

SPF sangkal dakwaan bot pengawal pantai masuk perairan Malaysia; ahli politik Johor gesa sempadan dilakar semula

Anggaran Waktu Membaca:
SPF sangkal dakwaan bot pengawal pantai masuk perairan Malaysia; ahli politik Johor gesa sempadan dilakar semula

Gambar fail: Reuters/Vivek Prakash

ISKANDAR PUTERI: Pasukan Polis Singapura (SPF) menyangkal laporan media yang mendakwa bot Polis Pengawal Pantai (PCG) memasuki perairan Malaysia dan "sengaja" merosakkan jala dan pukat milik nelayan tempatan.

Insiden berkenaan, bagaimanapun, mendorong seorang ahli politik di Johor untuk menggesa pemetaan semula sempadan maritim khususnya di Selat Johor, walaupun para penganalisis berpendapat langkah sedemikian seharusnya ditangani di peringkat persekutuan.

Dalam kenyataannya pada Ahad (20 Ogos) yang memberikan butiran mengenai kejadian yang dipercayai berlaku pada 14 Ogos, SPF menegaskan bahawa para pegawai PCG menguatkuasakan undang-undang Singapura di dalam kawasan perairannya, sambil ia menangkis dakwaan dalam laporan Sinar Harian dan Berita Harian (Malaysia) sebagai "tidak benar".

Menurut SPF, para pegawai PCG ternampak sebuah kapal nelayan Malaysia di Perairan Wilayah Singapura (STW) semasa melakukan rondaan sekitar pukul 6.55 pagi pada hari tersebut.

"Ketika itu, terdapat beberapa kapal nelayan lain di sekitar kawasan berkenaan, tetapi mereka berada di kawasan Perairan Wilayah Malaysia (MTW). Pegawai-pegawai PCG memberitahu para nelayan yang menaiki kapal itu bahawa mereka berada di STW dan menasihatkan mereka supaya meninggalkan kawasan tersebut," menurut polis.

SPF selanjutnya menyatakan, jala dan pukat tersangkut dengan kipas bot pengawal pantai yang ketika itu sedang berundur untuk cuba mengelak daripada memasuki kawasan perairan Malaysia.

"Jala nelayan itu rosak dalam proses melepaskannya dari kipas bot pasukan pengawal pantai. Para pegawai PCG sedang menguatkuasakan undang-undang Singapura di kawasan STW," tegas SPF.

Menyusuli insiden tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad memberitahu pihak media bahawa beliau akan menyarankan usul di sidang DUN seterusnya pada 11 September untuk memetakan semula sempadan maritim antara Malaysia dengan Singapura di Selat Johor.

Bercakap di sidang media pada Rabu (16 Ogos), Encik Pandak Ahmad juga mendakwa bahawa pertengkaran tercetus dalam kejadian pada 14 Ogos lalu antara empat nelayan tempatan dengan sebuah bot PCG sebelum bot itu dengan "sengaja melanggar" pukat milik nelayan tersebut dan merosakkannya.

“Kita adalah sebuah negara yang berdaulat dengan sempadan yang jelas tetapi pasukan pengawal pantai Singapura bertindak seolah-olah Selat Tebrau adalah milik mereka,” menurut ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Mereka secara tidak sengaja memasuki perairan kita. Nelayan kita yang mencari ikan di kawasan ini setiap hari tahu di mana sempadan kita, tetapi bot ini (bot Singapura) bertindak secara provokatif," katanya semasa sidang media.

Seorang nelayan yang terlibat dalam kejadian itu, Faizan Wahid, dilapor membuat aduan polis yang mendakwa pukatnya rosak dan koyak disebabkan oleh bot Singapura, dengan kerugian yang dialaminya sehingga RM700 (S$204.42).

Encik Pandak kemudian memberitahu Mediacorp bahawa sempadan maritim perlu dilakar semula "demi keselamatan beratus-ratus nelayan" yang menangkap ikan di kawasan itu.

Beliau juga mendakwa bahawa dalam kejadian pada Oktober 2022, seramai 10 nelayan tempatan telah diusir oleh pihak berkuasa Singapura ketika mereka sedang menangkap ikan di perairan berhampiran jambatan Linkedua di Pasir Laba.

Mengulas tentang isu berkenaan dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada Ahad, SPF menyatakan, nelayan yang sama dalam kejadian terbaharu yang turut berlaku berhampiran jambatan Linkedua juga terlibat dalam kejadian pada Oktober 2022, di mana dia diminta meninggalkan kawasan tersebut demi keselamatan dirinya kerana satu latihan menembak menggunakan peluru hidup sedang dijalankan di STW ketika itu.

"Dalam kejadian pada Oktober 2022, dia juga secara palsu mendakwa bahawa dia berada di MTW sedangkan dia sebenarnya berada di STW. SPF juga sudah mengeluarkan penjelasan berhubung dakwaannya itu," tegas SPF.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita