Skip to main content

Singapura

SPF lantik Pesuruhjaya Polis baharu mulai Jan 2026

Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mendapat Pesuruhjaya Polis baharu pada 6 Januari 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
SPF lantik Pesuruhjaya Polis baharu mulai Jan 2026

Encik How Kwang Hwee (kiri)) akan dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis pada 6 Jan 2026 apabila Encik Hoong Wee Teck bersara. (Gambar: MHA, SPF)

Diterbitkan : 06 Oct 2025 10:41PM Dikemas Kini : 06 Oct 2025 10:42PM
  • Encik How Kwang Hwee, 46 tahun akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Hoong Wee Teck, 62 tahun, yang akan bersara selepas 10 tahun memegang jawatan itu.
  • Encik How kini adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis (Dasar).
  • Encik Hoong berkhidmat bersama SPF selama 38 tahun dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis pada Januari 2015.
  • Di bawah kepimpinan Encik Hoong, Singapura kekal sebagai salah satu bandar paling selamat di dunia, dengan kadar jenayah yang rendah secara konsisten dan tahap kepercayaan tinggi terhadap SPF.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mendapat Pesuruhjaya Polis baharu pada 6 Januari 2026.

Encik How Kwang Hwee, 46 tahun akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Hoong Wee Teck, 62 tahun, yang akan bersara selepas 10 tahun memegang jawatan itu.

Encik How kini adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis (Dasar).

Beliau sebelum ini memegang beberapa jawatan utama termasuk sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan pengarah kanan divisyen pembangunan dasar di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Dalam peranannya sebelum ini sebagai Timbalan Pesuruhjaya (Siasatan dan Risikan) dan pengarah jabatan operasi, Encik How menerajui perancangan dan pelaksanaan banyak operasi termasuk operasi keselamatan sidang puncak Trump-Kim pada 2018 dan kes pencegahan pengubahan wang haram yang menyebabkan 10 warga asing diberkas.

"Sebagai Timbalan Pesuruhjaya (Dasar), Encik How membantu Encik Hoong memacu transformasi teknologi dalam SPF, khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan bagi mengukuhkan keupayaan dalam penyiasatan dan pencegahan serta pengesanan jenayah," menurut MHA dalam kenyataan medianya pada Isnin (6 Okt).

"Beliau juga menerajui semakan semula strategi penyampaian khidmat SPF dan memimpin transformasi perkhidmatan yang berurusan dengan orang awam, yang membawa kepada penambahbaikan ketara dalam pengalaman orang awam apabila berinteraksi dengan SPF."

PESURUHJAYA POLIS YANG BAKAL BERSARA

Encik Hoong berkhidmat bersama SPF selama 38 tahun dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis pada Januari 2015.

Beliau memegang banyak jawatan utama, termasuk Timbalan Pesuruhjaya (Siasatan dan Risikan), pengarah CID dan pengarah jabatan risikan polis.

MHA menyatakan sebagai Pesuruhjaya Polis, Encik Hoong "mengukuhkan" keupayaan SPF.

Encik Hoong juga menubuhkan Markas Antipenipuan dan Pasukan Respons Kecemasan SPF.

Pada separuh pertama 2025, jumlah kes skim penipuan dan kerugian akibat skim penipuan masing-masing merosot sebanyak 26 peratus dan 12.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Di bawah kepimpinan Encik Hoong, Singapura kekal sebagai salah satu bandar paling selamat di dunia, dengan kadar jenayah yang rendah secara konsisten dan tahap kepercayaan tinggi terhadap SPF," menurut MHA.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita